KUALA LUMPUR 18 Feb - Cagamas Bhd. meneruskan momentum positifnya dengan terbitan agregat RM1.195 bilion dalam situasi ketidaktentuan pasaran global.
Hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan dan pembiayaan Islam daripada sistem kewangan domestik.
Terbitan agregat itu meliputi Kertas Komersial Konvensional (CCP) berjangka 3 bulan bernilai RM700 juta, Kertas Komersial Islam (ICP) 3 bulan RM345 juta dan Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) berjangka 2 tahun bernilai RM150 juta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Chung Chee Leong berkata, ICP dan CCP itu ditetapkan harga pada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) 3 bulan ditambah 3 mata asas (bps), bersamaan 2.00% berdasarkan penetapan KLIBOR pada tarikh penetapan.
“CMTN berjangka 2 tahun itu ditetapkan pada 2.86%. Tebaran adalah 20 hingga 21 mata asas melebihi Bil-bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) dan Bil-bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) sepadan untuk ICP dan CCP tiga bulan.
“Bagi CMTN 2 tahun, tebarannya adalah 45 bps melebihi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terbitan yang dimuktamadkan itu ditetapkan harga melalui langkah tawaran persendirian, yang menjadikan terbitan agregat syarikat untuk tahun ini pada RM2.53 bilion.
Kertas-kertas tersebut, yang akan ditebus pada nilai nominal penuh masing-masing sebaik sahaja mencapai tempoh matang, adalah obligasi tidak bercagar perbadanan itu, pada kedudukan sama rata dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada lain di bawah Cagamas.
Ia akan disenaraikan dan boleh dagang menerusi Sistem Dagangan Sekuriti Tanpa Skrip. - DagangNews.com