Cahya Mata Sarawak catat PBT RM202 juta bagi tempoh 9 bulan | DagangNews Skip to main content

Cahya Mata Sarawak catat PBT RM202 juta bagi tempoh 9 bulan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Cahya Mata Sarawak Bhd. mengumumkan prestasi kewangannya bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021 dengan merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM202.11 juta, meningkat 196% berbanding RM75.24 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Peningkatan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh keuntungan daripada penjualan saham Kenanga Investment Bank Berhad berjumlah RM28.52 juta, pelupusan tanah sebanyak RM12.74 juta dan peningkatan dalam prestasi syarikat bersekutu dan usaha sama sebanyak RM78.32 juta.

 

Pendapatan kumpulan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM572.93 juta berbanding RM555.81 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala untung bersih juga meningkat kepada RM179.06 juta daripada RM80.7 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Sementara itu, bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, untung bersih kumpulan meningkat kepada RM53.88 juta daripada RM46.71 juta, sebaliknya pendapatan menyusut kepada RM185.87 juta berbanding RM226.48 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Menurut Cahya Mata Sarawak, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada pertengahan 2021 telah menjejaskan operasi kumpulan tetapi pengurusan meningkatkan strategi merentasi semua segmen perniagaan apabila aktiviti ekonomi dibuka selepas PKP 3.0.

 

"Pembukaan awal ekonomi Malaysia kekal mencabar dan pada masa sama, kumpulan menghadapi tekanan operasi yang meningkat akibat kekangan bekalan dan logistik.

 

"Selain itu, prestasi suku tahun akan datang bergantung pada sejauh mana perkembangan Pelan Pemulihan Negara," katanya. 

 

Bagi tempoh 9 bulan itu, segmen semen kumpulan mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 5% kepada RM353.46 juta berbanding RM336.74 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Segmen dagangan pula merekodkan PBT sebanyak RM4.16 juta meningkat 68% daripada RM2.47 juta , manakala segmen penyelenggaraan jalan merekodkan pendapatan lebih rendah kepada RM80.83 juta daripada RM105.47 juta.

 

Pendapatan bagi segmen pembangunan hartanah pula meningkat 30% kepada RM68.96 juta terutama disebabkan jualan hartanah lebih tinggi dan hasil yang lebih baik daripada perniagaan perhotelan.

 

Kumpulan memberitahu, projek Malaysian Phosphate Additives Sarawak (MPAS) tidak dapat dijalankan mengikut jadual berikutan masalah teknikal dan pentauliahan, yang tahapnya sedang dinilai dan penyelesaian sedang diusahakan secara aktif. 

 

"Dalam hal ini, kumpulan akan terus menilai semua pilihan yang ada mengenai hala tuju masa depan projek MPAS," jelasnya. -DagangNews.com