Catat prestasi terburuk FY22, saham Sapura Energy kini dinilai di bawah 1 sen | DagangNews Skip to main content

Catat prestasi terburuk FY22, saham Sapura Energy kini dinilai di bawah 1 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Mac - Penarafan saham dan harga sasaran (TP) Sapura Energy Bhd. disemak turun susulan kemelut kewangan yang dihadapi syarikat minyak dan gas itu yang dilihat sukar kembali pulih.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research kini menilai saham syarikat itu dengan saranan 'jual' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan TP pada 1 sen berbanding 5 sen sebelum ini. 

 

Bagi Kenanga Research pula, ia mengekalkan pandangan 'underperform' terhadap Sapura Energy, sebaliknya, menurunkan TP sehingga serendah 0.5 sen daripada 4 sen sebelum ini. 

 

CGS-CIMB turut menilai TP serendah 0.5 sen daripada 2.5 sen sebelum ini dengan mengekalkan penarafan sahamnya dengan saranan 'kurang'.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan Jumaat lalu, kerugian bersih Sapura Energy bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 (FY22) mencapai paras tertinggi setakat ini kepada RM8.9 bilion, berbanding kerugian bersih berjumlah RM160.87 juta.

 

Malah, pendapatan juga susut 22.8% kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu menyifatkan FY22 sebagai tempoh mencabar terutama dengan kemelut mudah tunai yang dihadapi kumpulan tidak pernah berlaku sebelum ini akibat daripada prestasi projek yang mencabar dan kos perkhidmatan hutang yang tidak mampan.

 

 

sapura energy

 

 

Penganalisis HLIB, Jeremy Yap berkata, Sapura Energy memerlukan lebih banyak masa dan usaha untuk mengubah operasinya kembali mencatat keuntungan, yang dijangka tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

 

Katanya, kecairan operasinya masih membimbangkan berikutan kesukaran mendapatkan pembiayaan dan keupayaannya memperoleh kontrak pada masa depan disebabkan tekanan kunci kira-kiranya.

 

"Memandangkan, situasi terburuk belum berakhir buat Sapura Energy, kami kini menjangkakan kerugian Sapura Energy akan terus melebar kepada RM717 juta dan RM706 juta masing-masing bagi FY23 dan FY24 (berbanding sebelum ini, RM621 juta dan RM580 juta) selepas mengambil kira margin yang lebih rendah bagi segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan). 

 

"Malah, kami juga menjangkakan, kumpulan akan berdepan nilai kontrak yang negatif disebabkan kerugian berterusan bagi FY23 hingga FY24," jelasnya. 

 

 

Baca : Kerugian Sapura Energy bagi FY22 meningkat kepada RM8.9 bilion

 

Baca : Sapura Energy in dire straits, PNB must now answer to investors

 

 

Setakat akhir Januari 2022, nilai projek kumpulan berjumlah RM6.6 bilion manakala RM28 bilion bagi dalam proses bidaan. 

 

Tahap gearan kumpulan juga semakin merosot sehingga melonjak kepada 39.0x bagi tempoh itu berbanding 1.1x setakat akhir Januari 2021 disebabkan rosot nilai aset tidak ketaranya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Bhd., Datuk Mohd Anuar Taib, Jumaat lalu, turut memberi amaran bahawa kumpulan itu mungkin perlu membuat keputusan yang sukar jika ia tidak dapat mencapai kompromi yang boleh dilaksanakan dengan pelanggannya selepas ia mengadakan rundingan dengan mereka mengenai 'kontrak-kontrak warisan' untuk penyelesaian secara baik untuk memulihkan atau mengehadkan kerugian.

 

 

sapura energy

 

 

Sementara itu, menurut penganalisis Kenanga Research, Steven Chan, kumpulan kini menghadapi masalah mudah tunai yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan paras hutang dan pemiutangnya tidak mampan tinggi, ditambah pula dengan cabaran dalam kemudahan kredit.

 

Sehingga kini, katanya, keseluruhan pinjaman kumpulan berjumlah RM10.7 bilion masih dilaporkan sebagai hutang jangka pendek, menurut piawaian MFRS, disebabkan pelanggaran perjanjian pinjaman

 

"Ini menyebabkan kami mengurangkan TP kepada 0.005 sen berbanding 4 sen sebelum ini. Malah, kami turut meningkatkan anggaran kerugian bagi FY23 sebanyak 17%," katanya.

 

Penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap berpendapat, musibah yang menimpa Sapura Energy mungkin disebabkan anggaran kos yang terlalu optimistik, harga bidaan yang agresif dalam usaha memenangi kontrak sebelum ini dan kemungkinan isu kecekapan pengurusan.

 

Katanya, kerugian bersih teras kumpulan tidak mungkin melebar, jika ia tidak menamatkan kontrak ladang angin di Taiwan pada 4 Februari lalu.

 

"Kami menjangkakan kumpulan mungkin mengambil langkah menjual aset huluan dan pengeluaran gasnya untuk dijual kerana ia mempunyai 50% pegangan saham dalam SapuraOMV.

 

"Malah, ini juga dilihat sejajar dengan fokus pada masa depan untuk menumpukan kepada perniagaan E&C dan penggerudian," katanya.

 

Dalam dagangan pagi ini, saham Sapura Energy antara paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia. Setakat 9.54 pagi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 4 sen dengan 19.38 juta saham diniagakan. - DagangNews.com