KUALA LUMPUR 22 Nov - SAIC Motor Malaysia mengumumkan harga rasmi model baharu MG HS varian Standard dan Lux, masing-masing pada RM129,900 dan RM145,900.
MG HS menampilkan reka bentuk menawan yang melambangkan keanggunan di jalan raya, dengan bahagian hadapan yang agresif apabila menampilkan lampu utama LED Bi-Fungsi dengan Lampu Siang (DRL), gril yang tampak berani dan bampar belakang yang direka semula menyerlahkan HS sebagai SUV paling menarik keluaran MG.
Ia turut dilengkapi dengan dua ekzos, lampu LED dan spoiler sporty, bersama-sama dengan rim aloi potongan diamond cut bersaiz 18 inci, melengkapkan gaya dinamiknya.
Untuk meningkatkan lagi daya tarikan sporty, MG HS menampilkan ciri eksklusif seperti angkup brek merah dan mod pemanduan Super Sport yang menambah sentuhan dinamik untuk pengalaman pemanduan.
Bahagian dalaman kenderaan itu menawarkan 64 pilihan lampu suasana dan bumbung suria panoramik, serta tempat duduk sport.
Dari segi teknologi sambungan, MG HS dilengkapi dengan paparan instrumen digital 2.3 inci dengan empat tema, paparan infotainmen resolusi tinggi 10.1 inci dengan kamera 360˚, Apple CarPlay, Android Auto dan sambungan telefon pelbagai fungsi MG iSMART untuk kawalan mudah.
Untuk kemudahan tambahan, ia menyediakan ruang kargo sebanyak 463 liter yang boleh diperluaskan hingga 1,287 liter apabila kerusi belakang dilipat dan pintu belakang kuasa.
Di bawah hud, unit rangkaian kuasa MG HS dikuasakan oleh enjin petrol turbo 1.5L yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar automatik 7-kelajuan, menghasilkan sehingga 162 PS dan tork maksimum 250 Nm.
Ia direka untuk jangka hayat sehingga 320,000 kilometer.
Bagi sistem keselamatan, MG HS dilengkapi dengan sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) di bawah jenama MG Pilot.
Antara ciri utama termasuk Amaran Perlanggaran Depan (FCW), Brek Kecemasan Automatik (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki dan basikal, Adaptive Cruise Control (ACC), Bantuan Kesesakan Lalu Lintas (TJA) serta Amaran dan Bantuan Lorong (LDW & LKA).
Ia juga hadir dengan Blind Spot Detection (BSD), Lane Change Assist (LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Intelligent High Beam Assist, memastikan anda memandu dengan tenang dan selamat setiap masa.
MG HS ditawarkan dalam empat warna iaitu Black Pearl, Arctic White, Camden Grey dan Dynamic Red, sementara kesemuanya dipadankan dengan balutan kerusi kulit hitam. - DagangNews.com