Skip to main content

CENBET gesa Peguam Negara rayu kes skim piramid supaya dipenjara

SHAH ALAM 3 Sept. - Pejabat Peguam Negara digesa mengemukakan rayuan penghakiman ke atas syarikat yang disabitkan kesalahan kerana menjalankan skim pelaburan piramid Selasa lalu, supaya dikenakan hukuman penjara, berbanding sekadar hukuman denda.

Presiden Bersama Centre For A Better Tomorrow (CENBET), Gan Ping Sieu berkata, Selasa lalu, syarikat skim piramid itu dijatuhkan hukuman denda RM9 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 1 September lalu.

Beliau berkata, pihaknya memuji kecekapan pasukan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengambil tindakan terhadap Mon Space (M) Sdn Bhd dan Monspacemall Sdn Bhd, bagi menghentikan skim piramid dan kegiatan penggubahan wang haram.
 

Gan Ping Sieu
Gan Ping Sieu

Bagaimanapun ujar beliau, CENBET merasakan hukuman tanpa penjara mungkin tidak memenuhi sepenuhnya prinsip keadilan kerana ratusan ribu orang telah terpedaya dan menjadi mangsa kepada skim penipuan pelaburan seumpamanya di negara ini.

Kata beliau, pelabur tempatan dan asing telah kehilangan wang simpanan peribadi yang besar kepada skim penipuan tersebut, dan mengakibatkan Malaysia mendapat reputasi negatif sebagai hab antarabangsa bagi apa sahaja skim pelaburan piramid.

"Memandangkan betapa serius implikasinya kepada masyarakat, bukan sahaja syarikat yang dikenakan hukuman tetapi hendaklah meliputi para pengarah dan `pengarah gelap' di belakangnya. Mereka semua bersekongkol dan wajar berdepan dengan hukuman undang-undang sepenuhnya.

"Hukuman penjara tentunya merupakan langkah pencegahan yang tegas kepada pengendali skim piramid dan penggubahan wang haram.

"Oleh itu, kami menggesa Peguam Negara supaya mempertimbangkan untuk membuat rayuan terhadap hukuman tersebut supaya pesalah dikenakan hukuman lebih berat berbentuk penjara dikenakan terhadap pengarah dan sesiapa sahaja di belakang syarikat itu,'' kata beliau.

Selasa lalu, Mon Space (M) Sdn Bhd dan Monspacemall Sdn Bhd yang mempromosikan skim piramid dan melakukan pengubahan wang haram dijatuhkan hukuman denda RM9 juta oleh Mahkamah Sesyen Jenayah 1, Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen, mempromosikan skim piramid dan pengubahan wang haram.

Hakim Datin Sabariah Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas syarikat tersebut, yang diwakili Ooi Choon Hoi, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah ke atas semua pertuduhan tersebut.  - DagangNews.com