Skip to main content
Oleh WAINUIOMATA - 13 January 2021

CEO Dubai Internet City Mengamuk (siar 31 Januari 2020)

 

 

LAPORAN tahunan pada tahun 2000 akan dibentangkan kepada 6 orang, pengerusi dan  pengarah Dubai Internet City dalam masa dua minggu. Saya terpaksa bekerja keras untuk membantu Hamed Kazim menyiapkan segala yang diperlukan.

 

Dua tugas lain untuk mencari rakan bisnes dan setiausaha terpaksa ditangguhkan sementara. Laporan itu penting untuk menunjukaan keberhasilan dan kalau ada keuntungan Dubai Internet City. Saya terpaksa mengkaji laporan Arthur Andersen untuk mengetahui selok-belok korporat. Ia bukan sesuatu yang mudah. Hamed Kazim memberitahu apa yang patut di ambil dan apa yang tidak. Laporan itu berhelai-helai.

 

Saya pening!

 

Hamed Kazim menyuruh saya membetulkan hingga 15 versi dan terus bertambah. Sehingga 20 lebih versi yang diperbetulkan. Akhirnya dia menyerahkan kepada saya semuanya untuk laporan. Saya balik pukul 12 malam dan esok pagi-pagi sudah ada di pejabat. Dia sama bekerja keras untuk itu.

 

Banyak perubahan yang dilakukan. Semuanya pengiraan mengikut akaun. Saya banyak menerima laporan dari eksekutif lain. Dubai Internet City telah berkembang pesat dalam masa setahun. Dari saya masuk sebagai ahli ke-22 hingga menjadi puluhan ramainya. Pensktrukturan dan organisasi semula berulang-kali. Sesungguhnya Dubai Internet City berkembang maju sebagai sebuah badan korporat.

 

microsoft
BANGUNAN Microsoft di Dubai Internet City.

 

Sementara saya tidak sedar tiba-tiba saya mempunyai pengaruh besar di Dubai Internet City. Saya meminta itu ini dengan para eksekutif yang sesuai dengan laporan. Hamed sibuk sebagai pengarah urusan Arthur Andersen dan banyak lagi. Banyak masa di luar dan dia memberikan saya peluang untuk mengisi tempatnya. Saya tidak sedar yang ramai staf Dubai Internet City memandang saya bukan sebagai setiausaha, bukan sebagai pengurus kanan IT, malah dengan jawatan baru, pengarah Dubai Internet City atau mungkin Ketua Pegawai Operasi!

 

Kerja yang orang bisikkan di belakang saya secara sembunyi. Saya tidak mengetahui sebab sentiasa sibuk dan tiada masa untuk mendengar cerita. Tetapi perasan cakap-cakap orang apabila ada yang menyindir mengenainya.

 

Saya tidak tahu apa-apa.

 

Saya tidak mempunyai masa untuk bergosip. Saya tegas dengan para eksekutif Dubai Internet City untuk melaksanakan segala arahan Hamed. Begitupun saya sentiasa tersenyum walau kesibukan.

 

Saya menjawab panggilan telefon untuk Hamed mengikut kehendak saya kerana Hamed sentiasa sibuk. Selepas itu saya memberitahu dia dan dia sekadar bersetuju.

 

Dia menyerahkan bulat-bulat mengenai Laporan Tahunan Dubai Internet City kepada saya untuk menyiapkannya. Saya makin pening. Ada sahaja perubahan yang dibuat-buat hingga tidak tahu versi ke berapa dan apa pengisiannya.

 

Saya mula risau dengan kerja saya yang bertambah sulit sejak tiba di Dubai. Waktu bekerja di TV3 saya tidak terlibat dengan korporat dan hanya tahu bidang saya. Saya tidak campur dan tidak tahu langsung dengan korporat malah akaun pun saya tidak tahu.

 

Hamed hanya mempercayai saya seorang dan saya ada bertanya dia kenapa tidak ambil Arab tempatan sepertinya untuk bekerja walaupun sebagai setiausaha.

 

Hamed tersenyum.

 

Hamed berkata dia bekerja lama di Amerika Syarikat (AS) dan mendapati ramai yang rajin dan kuat bekerja. Hamed masih belum dapat orang seperti itu, orang tempatan yang dedikasi.

 

Saya terkejut. Sebab itulah Hamed mengambil orang Sweden, AS dan Malaysia dibawahnya. Setiausahanya juga semua orang luar.

 

Hari yang ditetapkan pun tiba. Pengerusi ialah Mohamad Gergawi (kini menteri kanan UAE) dan lima orang pengarah. Mereka tiba tepat waktunya. Mohamed Gergawi kenal saya dan sempat bergurau.

 

Gergawi
Mohamed Gergawi

 

Saya bersiap dengan komputer riba dan laporan. Terketar-ketar. Pertama kali berdepan dengan lembaga pengarah Dubai Internet City. Semua siap sedia. Hamed memulakan dengan bercakap Arab, kemudian bahasa Ingeeris sebab laporan dalam bahasa Inggeris.

 

Hamed bercakap dengan terus-terang dan lancar.

 

Saya dengan komputer riba mengikut percakapannya dan suruhannya. Semua berjalan lancar.

 

Tiba-tiba Hamed perasaan dari angka-angka yang saya berikan.

 

Dia memandang saya.

 

“Betulkah?” tanya Hamed.

 

Saya tidak keruan. Saya mula sedar saya tersilap. Entah berapa versi yang bertukar. Bercampur-aduk. Saya tidak membuang versi-versi lama yang tidak diguna lagi.

 

Saya silap. Angka-angka telah dengan mudah dikenal pasti oleh Hamed.

 

Hamed memberitahu lembaga pengarah untuk menghentikan mesyuarat sementara. Dia akan panggil semula. Para pengarah beredar.

 

Hamed memanggil saya masuk ke pejabatnya.

 

Saya masuk. Berdebar-debar. Saya silap kerana tidak pasti dengan fikiran berkecamuk. Kerja dengan perubahan bertubi-tubi telah menyemakkan otak saya. Saya tidak cukup tidur.

 

Pintu ditutup.

 

Hamed terus memarahi saya dengan suara tinggi. Dia cukup marah. Saya ingat kerja saya berakhir. Saya mesti mencari kerja baru selepas ini. Hamed adalah penasihat Sheikh Mohammad Al Maktoum yang bekerja keras.

 

Saya diam. Hamed terus memarahi dengan selantang-lantangnya. Laporan itu bercampur aduk. Angka-angka yang diberikan semua silap. Hamed menyalahi saya kerana percaya kepada saya.

 

Kemudian Hamed senyap.

 

Dia memandang saya.

 

Saya perlahan bercakap, “Saya minta maaf. Kalau tuan mahu saya berhenti, saya akan berhenti!”

 

Dia memandang saya dan berkata, “Tunggu sekejap!”

 

Hamed memandang belakang saya. Saya berpusing. Melihat jam.

 

“Sekarang pukul lima. Releks. Waktu kerja sudah tamat!”

 

Hamed meletakkan kakinya diatas meja. Saya terkejut.

 

Dia tersenyum.

 

“Kita sembahyang dulu!”

 

Saya tidak tahu apa nak buat.

 

“Lupakan saya marah. Kita enjoy!”

 

Saya lagi tidak tahu apa mahu lakukan!

 

(Bersambung)

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

NOTA PENGARANG:
Artikel ini asalnya disiarkan pada 31 Januari 2020 tetapi berikutan gangguan teknikal, kami siarkan semula hari ini sebagai rekod.