KUALA LUMPUR 27 Jan - Hampir 20% usahawan golongan orang kurang upaya (OKU) berjaya menjana pendapatan melebihi RM5,000 sebulan menerusi latihan perniagaan digital bimbingan MYNIC Berhad.
Ketua Pengawai Eksekutif MYNIC Berhad, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, inisiatif OKU MYNIC yang diperkenalkan sejak Februari 2020 telah melatih lebih 300 usahawan melalui program wheelchair2u.my dan daperage.my.
Beliau berkata, pihaknya komited dalam membimbing OKU untuk berjaya menguasai perniagaan melalui premis digital.
“Daripada 300 usahawan OKU yang dilatih yang pada mulanya hanya memperoleh pendapatan di bawah RM1,000, kini lebih 70% daripada mereka berjaya memperolehi pendapatan lebih RM1,000 sebulan.
“Antara objektif inisiatif ini adalah untuk membantu serta mempercepatkan adaptasi digital dalam kalangan rakyat, khususnya OKU bagi menyokong dan membawa perniagaan mereka daripada luar talian ke dalam talian.
"Usaha ini juga dapat memastikan agar tiada golongan yang tertinggal dalam perjalanan digitalisasi negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hasnul, MYNIC juga menawarkan diskaun khas sebanyak 50% seumur hidup kepada semua OKU yang mendaftar melalui inisiatif tersebut.
Sementara itu, Pengasas Good Take Care Trade, Azarin Razali yang juga seorang OKU berjaya memasarkan produk kerusi roda bermotor ke pasaran antarabangsa menerusi premis digital yang diusahakan sejak dua tahun lalu.
Katanya, produk yang dikenali Gospeedi pertama di Malaysia itu mendapat tempahan pelanggan dari Singapura, Australia dan Rusia pada tahun lepas.
"Premis digital memberikan impak yang besar kepada perniagaan saya. Ini membuatkan saya terus bersemangat dan yakin untuk mencapai sasaran perniagaan saya," katanya.
Tambahnya, syarikatnya akan secara agresif menerokai bidang pemasaran dalam talian dan atas talian pada tahun ini.
Sehingga kini, Gospeedi berjaya dijual sebanyak 120 unit yang mana peningkatan paling ketara dapat dilihat menerusi penjualan atas talian ataupun premis digital. - DagangNews.com