Apple mula ambil pekerja, mulakan rantaian runcit di Malaysia - laporan | DagangNews Skip to main content

Apple mula ambil pekerja, mulakan rantaian runcit di Malaysia - laporan

NEW YORK 25 Jan - Apple Inc. mula mengambil pekerja dalam usaha memulakan peruncitannya ke Malaysia sebagai persediaan untuk membawa kedai rantaiannya ke Asia buat julung kalinya, lapor Bloomberg.

 

Baru-baru ini, syarikat tersebut mengumumkan senarai jawatan kosong di Malaysia menerusi laman webnya.

 

Antara jawatan yang diperlukan adalah pengurus kedai, pakar teknikal dan kakitangan sokongan, jurujual untuk perniagaan dan pakar operasi.

 

Bloomberg juga melaporkan jawatan yang tersenarai adalah untuk kedai runcit Apple sendiri dan bukannya penjual semula yang merupakan pihak ketiga yang telah lama beroperasi di Malaysia.

 

Langkah tersebut akan memperkukuhkan lagi kehadiran Apple di Asia Tenggara, memandangkan ia sudah mempunyai kedai di Thailand dan Singapura.

 

Selain itu, Apple juga mengumumkan senarai jawatan untuk lokasi pertamanya di India yang telah dirancang selama beberapa tahun.

 

Namun, menurut laporan tersebut, jurucakap Apple enggan mengulas mengenai perkara berkenaan.

 

"Penyenaraian jawatan tersebut tidak menunjukkan lokasi kedai pertama Apple di Malaysia tetapi mungkin akan bermula di Kuala Lumpur," katanya dalam laporan tersebut.

 

Bloomberg juga berkata, Apple tidak melaporkan jualan di negara individu tetapi syarikat itu menjana lebih daripada AS$29 bilion dari segmen Asia Pasifiknya pada tahun fiskal yang lalu, tidak termasuk China dan Jepun.

 

Syarikat yang berpangkalan di Cupertino, California itu sudah mengendalikan kedai dalam talian di Malaysia.

 

Apple memulakan rantaian runcitnya hampir 22 tahun lalu dan kini mempunyai 500 kedai di seluruh dunia dengan kebanyakannya di Amerika Syarikat. 


Kali terakhir syarikat tersebut menambah kedainya adalah pada 2018 di Bangkok, Thailand. - DagangNews.com