Bank Islam umum pelantikan baharu Lembaga Pengarah dan Pengerusi Majlis Pengawasan Syariah | DagangNews Skip to main content

Bank Islam umum pelantikan baharu Lembaga Pengarah dan Pengerusi Majlis Pengawasan Syariah

Profesor Dato’ Dr Noor Inayah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Bank Islam.
oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 7 April - Bank Islam Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Profesor Dato' Dr Noor Inayah Yaakob sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 7 April 2023.

 

Sementara itu, Ir. Dr Muhamad Fuad Abdullah turut mengambil peranan sebagai Pengerusi Majlis Pengawasan Syariah pada 1 April 2023, menggantikan Prof. Dato’ Dr Ahmad Hidayat Buang yang bersara pada 31 Mac 2023.


 

Prof. Dato’ Dr Ahmad Hidayat Buang
Prof. Dato’ Dr Ahmad Hidayat Buang

 


Pelantikan ini akan mengukuhkan lagi Komposisi Lembaga Pengarah Kumpulan menjelang ulang tahun Bank Islam ke-40 tahun ini.

 

Dr Noor Inayah mempunyai kerjaya yang cemerlang merentasi bidang akademia sehingga korporat dan badan-badan keagamaan.

 

Beliau merupakan Pengerusi Amanah Raya Trustees Berhad, dalam Lembaga Amanah Yayasan Amanah Raya, Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan serta Ahli Jawatankuasa Semakan dan Audit, Majlis Penasihat dan Pengawasan Syariah Amanah Raya Berhad.


 

Profesor Dato' Dr Noor Inayah Yaakob
    Dr Noor Inayah Yaakob

 


Pada masa ini, Dr Noor Inayah adalah Presiden dan Naib Canselor Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur, jawatan yang disandangnya sejak 1 Julai 2021.

 

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Rektor Kolej Profesional Baitulmal, yang dimiliki penuh oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

 

Dr Noor Inayah merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Syariah (Kepujian) dan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau juga berkelulusan LLM (Sarjana dalam Undang-Undang Perbankan dan Perbandingan Sivil) daripada Universiti Bristol, United Kingdom.

 

Selain itu, beliau turut menerima Ijazah Kedoktoran (PhD) Undang-Undang daripada Fakulti Undang-Undang, University Manchester, United Kingdom.

 

Dr Noor Inayah adalah pakar sumber dalam bidang wakaf di Malaysia dan peringkat antarabangsa. Tidak asing dalam pencapaian-pencapaian baharu, Dr Noor Inayah juga pada masa ini adalah satu-satunya Nazir Masjid Wanita yang dilantik dalam sejarah negara.

Ir. Dr Muhamad Fuad Abdullah
         Ir. Dr Muhamad Fuad Abdullah

 


Ir. Dr Muhamad Fuad pula menyertai Majlis Pengawasan Syariah Bank Islam sebagai Ahli pada 1 April 2022 dan dilantik sebagai Pengerusinya pada 1 April 2023.

 

Beliau mempunyai dua kelayakan akademik iaitu dalam bidang kejuruteraan dan pengajian Islam. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal daripada Universiti Southampton,
England, masing-masing pada tahun 1977 dan 1982.

 

Beliau kemudiannya menyempurnakan ijazah Sarjana Muda Sastera (Syariah) di Universiti Jordan pada 1994. Pencapaian akademik tertinggi beliau adalah Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam Tamadun Islam yang dianugerahkan pada tahun 1996 oleh Universiti Aberdeen di Scotland.

 

Beliau memainkan peranan aktif dalam bidang akademia. Beliau berkhidmat sebagai Profesor Adjung/Pensyarah di beberapa universiti tempatan termasuk Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Putra Malaysia (UPM), and Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).

 

Selain itu, beliau juga merupakan sebahagian daripada Panel Penasihat Industri Program Kejuruteraan Elektrikal Universiti Teknologi MARA (UiTM), Multimedia University (MMU) and Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan telah berkhidmat sebagai Ahli Sidang Lembaga Pengajian Universiti Islam Antarabangsa, Program Sarjana Muda Fiqah
& Usul Fiqah dari tahun 2007 hingga 2010.

 

Beliau merupakan Ketua Eksekutif The Netherlands Maritime Institute of Technology di Johor Bahru pada 2019.

 

Ir. Dr Muhamad Fuad memegang beberapa keahlian Lembaga pengarah termasuk di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), MIDF Berhad, MIDF Property Berhad, Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad and Island & Peninsular Bhd, Medic IG Sdn Bhd, Mesiniaga Berhad, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Hidayah Centre Foundation.


 

Tan Sri Dr Ismail Haji Bakar
       Tan Sri Dr Ismail Haji Bakar

 


Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, “Mewakili Lembaga Pengarah, saya mengalu-alukan Dr Noor Inayah ke Bank Islam dan tahniah kepada Dr Fuad atas mandat baharu ini. Pelantikan Dr Noor Inayah ini merupakan bukti komitmen kami dalam mencapai sekurang-kurangnya 30% keseimbangan jantina bagi peranan pembuat keputusan kanan dalam Kumpulan.”

 

“Dengan pelantikan ini, kami mengharapkan pandangan berharga mereka dalam mengemudi Kumpulan ke tahap yang lebih tinggi. Kepakaran dan rekod prestasi mereka yang sudah terbukti dalam industri akan menjadi aset kepada Bank Islam.

 

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr Ahmad Hidayat Buang atas sumbangan beliau yang berharga kepada Kumpulan selama 12 tahun yang lalu dan selamat maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini,” kata beliau. - DagangNews.com