BN, PH bentuk kerajaan negeri Perak, dijadual angkat sumpah 5.30 petang 21 November 2022  | DagangNews Skip to main content

BN, PH bentuk kerajaan negeri Perak, dijadual angkat sumpah 5.30 petang 21 November 2022 

oleh ZAKI SALLEH

IPOH 21 Nov  - Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini memperkenankan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

 

Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini mengesahkan perkara itu hari ini.

 

Katanya, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada pukul 5.30 petang ini.

 

"Tuanku berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan oleh wakil daripada BN dan PH, dan mereka hanya mengemukakan hanya satu calon tunggal sebagai calon MB dari kedua-dua pihak iaitu YB Kota Tampan, Saarani Mohamad," ujarnya kepada pemberita.

 

BN yang mempunyai sembilan kerusi dan PH (26) membolehkan kerajaan yang stabil dengan 35 kerusi.

 

Terdahulu, Saarani tiba di Istana Kinta menaiki kenderaan Volvo hitam pada pukul 12.28 untuk sembah menghadap Sultan Perak.

 

Beliau ketika ditemui memberitahu, gabungan BN dan PH telah mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan negeri di Perak setelah perkara itu dipersetujui antara kedua-dua parti.

 

"Sebentar tadi saya telah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembah maklum tentang perkara ini.

 

"Seterusnya terpulang kepada Tuanku untuk membuat keputusan berhubung perkara seterusnya," ujar beliau kepada pemberita selepas keluar dari Istana Kinta di sini.

 

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi DAP Perak, Dr. Aziz Bari dan Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Howard Lee yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

 

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum ke-15, PH menang 24 kerusi dan BN (sembilan) manakala Perikatan Nasional (26). - DagangNews.com