Exabytes lancar kempen #DetectToProtect tingkatkan tahap kesedaran keselamatan siber | DagangNews Skip to main content

Exabytes lancar kempen #DetectToProtect tingkatkan tahap kesedaran keselamatan siber

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Okt - Sempena bulan kesedaran keselamatan siber, Exabytes melancarkan kempen #DetectToProtect bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai keselamatan siber dan kesan-kesan apabila perkara itu dipandang ringan.

 

Kempen ini dilaksanakan secara strategik bagi mendidik pemilik-pemilik perniagaan, pengurus-pengurus serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai kepentingan untuk bersedia menghadapi perkara buruk dalam melindungi data-data sensitif mereka.

 

Ketua Keselamatan Siber Exabytes, Kevin Foo berkata, syarikat dan pemilik perniagaan cenderung mengabaikan aspek kepentingan memiliki jenis perlindungan yang betul untuk perisian dan perkakas mereka, sehinggalah satu perkara tidak diingini berlaku. 

 

"Pemikiran begini perlu dielak kerana serangan siber boleh berlaku apabila kita langsung tidak menjangkakannya, dan apabila ia disedari, segala-galanya sudah terlambat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Kevin, perniagaan kecil merupakan kumpulan paling terdedah kepada serangan siber, terutama sekali dalam rantau ASEAN memandangkan saiz dan kekangan kewangan syarikat.

 

"Ditambah pula dengan kekurangan pengetahuan dan latihan mengenai tahap keselamatan siber, PKS cenderung menjadi sasaran pilihan untuk serangan siber," katanya.

 

Dengan teknologi perlindungan menyeluruh Exabytes seperti Acronis Cyber Protect, SSL Certificate, Sucuri Web Security, Sitelock dan SpamExperts, pengguna boleh bekerja dengan tenang apabila mengetahui perkakas kerja mereka dilindungi sepenuhnya daripada serangan siber dengan mengesannya sebelum ia berlaku.

 

 

exabytes
Kevin Foo

 

 

Bagi meningkatkan kesedaran tentang aspek keselamatan itu, Exabytes akan menganjurkan satu webinar ‘Kesedaran Keselamatan Siber untuk Perniagaan’ pada 11 Oktober 2022 dari pukul 10 hingga 11.30 pagi.

 

Exabytes akan berkongsi trend berkaitan keselamatan siber dalam 2022 dan kesannya kepada perniagaan dalam webinar tersebut. Satu kajian kes secara ‘live’ mengenai Acronis Cyber Protect dan cara ia berfungsi juga akan dilakukan bagi memberikan pemahaman yang lebih jelas tentang ciri-cirinya.

 

Mereka yang berminat untuk menyertai webinar tersebut boleh mendaftar di sini https://www.exabytes.my/events/product/exabytes-cybersecurity-webinar/. - DagangNews.com