CGS-CIMB : HPP Holdings tumpu pelbagaikan pendapatan dengan perolehan kontrak dalam sektor baharu | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : HPP Holdings tumpu pelbagaikan pendapatan dengan perolehan kontrak dalam sektor baharu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Nov -  HPP Holdings Bhd. menyaksikan jualan yang kukuh daripada pelanggan elektronik dan elektrik (E&E) baharu ketika syarikat itu berusaha mempelbagaikan pangkalan bekalan pembungkusannya jauh dari China.

 

Dilihat sebagai penerima manfaat jangka panjang daripada lencongan perdagangan di China di tengah-tengah pertelingkahan perdagangan AS-China yang berterusan, CGS-CIMB Research mengekalkan pandangan positifnya terhadap prospek HPP. 

 

Penganalisisnya, Khoo Zhen Ye berkata, situasi itu mungkin disebabkan oleh dasar sifar COVID-19 yang berterusan dan gangguan operasi di negara tersebut.

 

Katanya, HPP melihat sumbangan jualannya sebagai peratusan jumlah hasil daripada pelanggan E&E baharunya meningkat kepada 15.1% pada suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2023 (FY23) daripada 13.6% pada FY22.

 

"HPP juga telah mendapatkan pelanggan E&E baharu yang berpotensi membawa masuk tambahan jualan sebanyak RM400,000 hingga RM500,000 sebulan, satu kelebihan kepada trajektori pendapatannya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Ini mendorong CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap HPP dengan harga sasaran tidak berubah pada 55 sen sesaham. 

 

Menurut Zhen Ye, dalam taklimat bersama kumpulan baru-baru ini, kumpulan juga menyatakan sedang mendapatkan pesanan jualan daripada pelanggan baharu pada suku akan datang iaitu dalam sektor sarung tangan getah dan produk kosmetik.

 

"Secara dasarnya, kami menjangkakan HPP akan bertapak dalam kedua-dua sektor ini dengan mudah memandangkan rekod prestasinya yang kukuh, rangkaian produk pembungkusan kertas yang berkualiti dan operasi berskala besar untuk memenuhi pesanan yang lebih besar.

 

"Kami melihat ini sebagai perkembangan positif memandangkan HPP boleh mempelbagaikan lagi asas pendapatannya dan mengurangkan risiko penumpuan pelanggannya pada masa hadapan," jelasnya. 

 

Beliau juga mendapati HPP menyasarkan untuk meneroka segmen dulang acuan pulpa kertas (margin keuntungan kasar lebih sedikit daripada 30%) pada suku akan datang.

 

Katanya, kumpulan telah menerima permintaan jualan sedemikian daripada bakal pelanggannya, salah satunya ialah pedagang dalam talian yang besar dan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

 

"Selain itu, HPP terus memperkenalkan lebih banyak penyelesaian pembungkusan sehenti yang inovatif (seperti sisipan pembungkusan nilai tambah margin yang lebih tinggi dan penyelesaian percetakan pembungkusan yang menarik).

 

"Dalam hal ini, kami percaya inisiatif ini boleh membantunya memenangi pesanan jualan yang lebih besar daripada pelanggan baharu dan sedia ada," katanya.

 

Setakat 10.32 pagi, harga saham HPP susut 0.5 sen atau 1.2% kepada 41 sen dengan 11,000 saham diniagakan. - DagangNews.com