Hyatt Centric mercu tanda baharu Kota Kinabalu kini dibuka | DagangNews Skip to main content

Hyatt Centric mercu tanda baharu Kota Kinabalu kini dibuka

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Hap Seng Consolidated Berhad (Hap Seng) telah meraikan pembukaan besar-besaran Hyatt Centric Kota Kinabalu, semalam dan sekaligus menjadi mercu tanda baharu di negeri tersebut. 

 

Hyatt Centric Kota Kinabalu menandakan debut jenama gaya hidup Hyatt yang berkembang pesat di Malaysia dan Asia Tenggara, menyertai lima buah lagi hotel berjenama Hyatt di Malaysia. 

 

Bertapak di Signal Hill dengan pemandangan yang indah, seni bina dan hiasan dalaman hotel yang kontemporari dan mengalu-alukan rekaan Kengo Kuma, arkitek termasyhur global, mencerminkan warisan alam semula jadi Sabah. 

 

Hyatt Centric Kota Kinabalu merupakan debut hotel sulung Hap Seng Consolidated Berhad, dengan tiga lagi hartanah Hyatt bakal dibuka dalam masa beberapa tahun akan datang di Malaysia.

 

Terdahulu, acara tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Pengerusi Hap Seng, Thomas Karl Rapp; Pengarah Pengurusan Hap Seng, Datuk Edward Lee Ming Foo dan Presiden Pertumbuhan dan Operasi Asia Pasifik Hyatt, Stephen Ho.

 

Joachim berkata, pelaburan seperti Hyatt Centric hotel juga akan menghasilkan kesan yang berganda dalam meningkatkan ekonomi. 

 

"Saya mahu melihat hotel yang dibina di Sabah dapat memberi peluang pekerjaan untuk rakyat kita dan menyumbang kepada pembangunan modal insan. Kami mahu memastikan bahawa pelaburan yang dibawa masuk ke Sabah dapat memberikan kesan positif kepada seluruh masyarakat tempatan," katanya ketika menyampaikan teks ucapan Hajiji.

 

 

hyatt

 

 

Stephen pula berkata, pihaknya berbesar hati memperkenalkan Hyatt Centric Kota Kinabalu sebagai hotel Hyatt Centric pertama Hyatt di Asia Tenggara sementara mereka terus mengembangkan jenama gaya hidup ini di Asia Pasifik. 

 

"Kami amat menghargai kepercayaan dan kerjasama yang kukuh daripada pasukan Hap Seng, sokongan ketua menteri dan komuniti tempatan, serta dedikasi seluruh pasukan hotel, yang bersama-sama telah menyumbang kepada penyiapan hotel ini yang berjaya," katanya.

 

Dalam pada itu, Thomas berkata, hotel ini merealisasikan hasrat sepanjang masa mereka untuk membina hotel kelas dunia di Kota Kinabalu, Sabah.

 

"Ia merupakan negeri yang telah menyaksikan permulaan kumpulan kami lebih daripada 60 tahun yang lalu dan kami pasti bahawa Hyatt Centric Kota Kinabalu akan dapat menarik pengembara daripada seluruh dunia,” katanya.

 

Hotel 23 tingkat ini menampilkan sebanyak 222 buah bilik tetamu moden yang dilengkapi balkoni, dengan kolam renang, restoran dan bar dupleks di tingkat bumbung, yang menyediakan pemandangan Signal Hill, kepulauan di Taman Laut Tunku Abdul Rahman dan Laut China Selatan secara meluas. - DagangNews.com