Jemaah Menteri luluskan wakil Sabah, Sarawak di dalam lembaga LHDN - realisasikan MA63 | DagangNews Skip to main content

Jemaah Menteri luluskan wakil Sabah, Sarawak di dalam lembaga LHDN - realisasikan MA63

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 6 Okt - Jemaah Menteri pada 30 September 2022 telah meluluskan cadangan pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) 1995 [Akta 533] supaya diperuntukkan seorang wakil Kerajaan Negeri Sabah dan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak di dalam keanggotaan lembaga pengarah LHDNM.

 

Cadangan pindaan ini akan seterusnya dibentangkan ke Parlimen untuk kelulusan.

 

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan pada 1 September 2022 telahpun melantik calon Kerajaan Negeri Sabah ke Lembaga pengarah LHDNM yang mengisi kekosongan ahli profesional dalam Lembaga LHDNM.

 

Namun kata beliau, cadangan pindaan yang dipersetujui Jemaah Menteri akan menginstitusikan wakil daripada Sabah dan Sarawak di dalam lembaga pengarah LHDNM, di samping membolehkan pelantikan wakil dari kalangan penjawat awam Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

 

"Pindaan Akta 533 merupakan tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyusuli permohonan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

 

"Kerajaan percaya pelantikan wakil-wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak adalah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan mengalu-alukan sumbangan idea dan kepakaran dari wakil Kerajaan Negeri berkaitan pentadbiran percukaian," kata beliau. - DagangNews.com