Kebimbangan kemelesetan global antara faktor jejaskan pasaran modal Bursa Malaysia, merosot kepada RM1.6 trilion | DagangNews Skip to main content

Kebimbangan kemelesetan global antara faktor jejaskan pasaran modal Bursa Malaysia, merosot kepada RM1.6 trilion

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Okt - Pasaran modal syarikat tersenarai di Bursa Malaysia mencecah paras terendah setakat tahun ini setelah merosot 6.1% kepada RM1.6 trilion pada 30 September 2022. 

 

Menurut Bursa Malaysia Bhd., keseluruhan sentimen pasaran terjejas akibat kebimbangan berlakunya kemelesetan global, dasar monetari Amerika Syarikat (AS) yang ketat bagi mengekang inflasi dan ketegangan geopolitik di Barat.  

 

Ini menyaksikan pertumbuhan purata nilai dagangan harian (ADV) pada bulan tersebut kekal mendatar sebanyak RM1.76 bilion berbanding RM1.74 bilion pada Ogos, menjadikan ADV bagi tempoh sembilan bulan sebanyak RM2.11 bilion.

 

"Setanding dengan kebanyakan rakan serantau di negara ekonomi baharu muncul (EM) Asia kecuali China, Bursa Malaysia mencatatkan aliran keluar asing bersih sebanyak RM1.63 bilion.

 

"Ini adalah bulan kedua yang mencatat aliran keluar asing bersih tahun ini selepas Jun. Bagaimanapun setakat ini, pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih sekuriti tempatan sebanyak RM6.61 bilion," katanya dalam laporan aliran dana dan prestasi dagangan, hari ini.

 

Institusi tempatan kembali berubah kepada pembeli bersih selepas menambah sebanyak RM1.16 bilion, yang secara tidak langsung mengecilkan aliran keluar daripada pasaran kepada RM9.19 bilion setakat ini.

 

Peruncit tempatan pula terus menyokong pasaran domestik, dengan pembelian bersih meningkat lebih dua kali ganda kepada RM453 juta pada September berbanding RM141 juta pada Ogos 2022.

 

Bursa Malaysia berkata, momentum jualan asing dalam sektor kewangan secara amnya meningkat minggu ke minggu, mencecah RM484 juta menjelang akhir bulan. 

 

"Aliran keluar terutamanya diserap oleh dana tempatan yang menjadikan pembeli bersih sektor itu dalam dua minggu terakhir September, manakala peruncit tempatan juga menambah stok kewangan kepada portfolio mereka pada bulan tersebut," jelasnya.

 

Kaunter kewangan yang mengatasi aliran keluar asing ialah Maybank, Public Bank Bhd. dan RHB Bank Bhd., di mana pelupusan bersih daripada setiap kaunter melebihi RM100 juta.

 

Bagi sektor perindustrian, aliran keluar meningkat kepada RM472 juta pada September berbanding RM41 juta pada Ogos, diterajui terutamanya Petronas Chemicals Bhd. dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd. Pada bulan tersebut, dana asing banyak membeli dalam sektor pembinaan khususnya Gamuda Bhd. 

 

Sementara itu, institusi tempatan menambah sektor perindustrian dan teknologi buat bulan keempat berturut-turut sejak Jun. 

 

Momentum belian bersih bagi perindustrian telah diperkukuh dengan ketara bagi bulan ke bulan kepada RM432 juta pada September (berbanding RM27 juta pada Ogos).

 

Ia juga merupakan pembelian tertinggi dalam sektor perindustrian oleh institusi tempatan bagi tempoh sembilan bulan setakat ini. Pada September, aliran masuk institusi tempatan dipacu terutamanya Petronas Chemicals. 

 

Institusi tempatan turut menambah RM340 juta saham teknologi, peningkatan sebanyak 22% daripada RM279 juta pada Ogos, merupakan pembelian bersih tertinggi dalam sektor setakat ini.

 

Dana domestik terutamanya membeli saham MYEG Services Bhd., di mana kaunter merekodkan aliran masuk yang konsisten selama dua bulan lalu (RM97 juta pada Ogos dan RM92 juta pada September). - DagangNews.com