Kerajaan beri tumpuan sektor perkhidmatan dalam Bajet 2023 - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan beri tumpuan sektor perkhidmatan dalam Bajet 2023 - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA 17 Jan - Kerajaan akan memberikan tumpuan terhadap sektor perkhidmatan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini, menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

 

Beliau berkata, antara sektor yang akan diberikan tumpuan adalah teknologi hijau, ekonomi digital dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Menurutnya dasar kerajaan juga harus tertumpu untuk meningkatkan keupayaan sektor PKS berikutan ia mempunyai potensi tinggi dan melibatkan jumlah pekerja yang besar. 

 

"Jangan kita merasa kelesuan akibat ekonomi yang merudum. Kita kena mencari jalan dalam bidang-bidang baharu seperti ekonomi hijau dan digital.

 

"Pendekatan kita selama ini juga tidak tertumpu terhadap PKS yang menjadi tunggak kepada ekonomi negara," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 di sini hari ini.

 

Anwar berkata, beliau mengambil pendekatan yang realistik dalam Bajet 2023 dengan mengambil kira keadaan ekonomi serta pandangan politik. 

 

"Sekiranya ada keperluan untuk membuat perubahan, kita akan lakukan kerana mandat diberikan adalah mandat untuk melakukan perubahan," katanya. 

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, hutang negara termasuk liabiliti telah mencecah sebanyak RM1.5 trilion dan perlu ditangani segera. 

 

"Ekonomi masih dianggap malap. Ia juga berkait dengan perkembangan antarabangsa, baik soal konflik Rusia-Ukraine atau pasca COVID-19 yang belum menzahirkan kekuatan ekonomi," katanya. 

 

Kementerian Kewangan pada 29 Disember mengesahkan bahawa kerajaan akan membentangkan Bajet 2023 yang disemak semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2023.

 

Semasa persidangan Dewan Rakyat pada 20 Disember, Dewan Rakyat meluluskan peruntukan khas perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107.72 bilion, antaranya merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan. - DagangNews.com