Kereta berkuasa hidrogen dihadiahkan oleh UMW Toyota, bukan dibeli kerajaan Sarawak | DagangNews Skip to main content

Kereta berkuasa hidrogen dihadiahkan oleh UMW Toyota, bukan dibeli kerajaan Sarawak

Gambar dari FB SEDC Sarawak

KUCHING 24 Mac - Kerajaan negeri tidak membeli lima kereta Toyota Mirai berkuasa hidrogen yang digunakan sebagai kereta rasmi pemimpin negeri, tetapi ia dihadiahkan oleh UMW Toyota, kata Pejabat Premier Sarawak (SPO) hari ini sebagai menjawab dakwaan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan, baru-baru ini.

 

SPO berkata memandangkan Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai stesen hidrogen, UMW Toyota memberikan kenderaan itu kepada kerajaan untuk mempromosikan tenaga hijau.

 

“Di Malaysia, Sarawak adalah penggalak utama tenaga hijau,” katanya.

 

Menurut SPO, UMW Toyota telah menyerahkan empat kereta kepada kerajaan persekutuan, bersama-sama dengan kenderaan kelima kepada kerajaan Sarawak untuk kegunaan rasmi Premier Tan Sri Abang Johari Openg sebagai pengiktirafan pendirian tenaga hijau beliau.

 

Bagaimanapun, kerajaan persekutuan memberikan empat kereta itu kepada Sarawak Energy Development Corporation kerana ia tidak mempunyai stesen hidrogen, tambahnya.

 

Tiga Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian setiap seorang telah diberikan satu kereta dua hari lalu untuk kegunaan rasmi mereka.

 

Dalam kenyataannya awal hari ini, Voon berkata kerajaan negeri perlu mengambil iktibar daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengurangkan perbelanjaan.

 

Beliau berkata kerajaan negeri tidak sepatutnya membeli kereta baharu untuk tiga Timbalan Perdana Menteri, dengan mendakwa kenderaan itu tidak murah dan penyelenggaraannya tinggi.

 

“Apa yang tidak kena dengan kereta rasmi semasa yang mereka ada sekarang?

 

"Kerajaan negeri bertanggungjawab kepada pembayar cukai kerana membelanjakan wang mereka," katanya, sambil menambah bahawa Premier Sarawak  harus mewajarkan alasan kereta baharu itu.

 

Voon berkata kerajaan negeri harus memikirkan rakyat ketika kos sara hidup semakin meningkat.

 

Beliau berkata kerajaan negeri tidak boleh lupa bahawa mereka yang tinggal di kawasan luar bandar masih tidak mempunyai akses jalan raya yang elok, air bersih dan kemudahan lain.

 

“Daripada kereta baharu, apa kata gunakan wang itu untuk membantu mereka, terutama warga sekolah. Jika Sarawak mahu maju, perkara terbaik ialah melabur dalam pendidikan anak-anak kita,” katanya. -DagangNews.com