Keyakinan pelabur pasca PRU15 beri impak positif terhadap hartanah komersial, perindustrian - penganalisis pasaran | DagangNews Skip to main content

Keyakinan pelabur pasca PRU15 beri impak positif terhadap hartanah komersial, perindustrian - penganalisis pasaran

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Nov - Keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik di Malaysia dengan pelantikan perdana menteri ke-10 minggu lalu selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan menyuntik keyakinan mereka terhadap pasaran hartanah terutamanya bagi segmen perindustrian dan komersial untuk mencatat prestasi lebih baik pada 2023.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Irhamy Valuers International, Irhamy Ahmad MRICS, nilai transaksi pada separuh pertama 2022 meningkat lebih 36% berbanding paras sebelum pandemik dengan hartanah perindustrian dan komersial merangkumi 29.3% daripada keseluruhan transaksi menyamai RM24.77 bilion.

 

Beliau yang juga jurukur penilaian bertauliah berkata, bilangan transaksi komersial meningkat dalam setiap julat harga, dengan jalur harga tertinggi juga menunjukkan kadar pertumbuhan tertinggi pada 54%.

 

Katanya, pemacu utama kepada peningkatan transaksi itu ialah projek infrastruktur seperti tenaga boleh diperbaharui (RE), transit dan telekomunikasi.

 

"Kami percaya nilai urus niaga akan terus meningkat apabila memasuki 2023, tetapi lebih sederhana.

 

"Pertumbuhan akan kembali kepada sesuatu yang lebih serupa dengan arah aliran sebelum ini disebabkan perbandingan asas yang lebih tinggi apabila melepasi angka yang sangat rendah pada 2020 dan 2021.

 

"Pasaran perindustrian berkembang disebabkan peningkatan e-dagang dan pelaburan oleh pengeluar asing," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Irhamy Ahmad
Irhamy Ahmad

 

 

Pada 24 November lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

 

PRU15 menjadi persaingan paling sengit dalam sejarah negara apabila menyaksikan tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya membentuk kerajaan kerana tidak memperoleh kerusi majoriti di Parlimen.

 

Irhamy berkata, meskipun terdapat kebimbangan terhadap keputusan PRU15 yang tidak menentu, tetapi ekonomi menuju ke 2023 disokong asas yang kukuh dan kepelbagaian struktur ekonomi.

 

Jelasnya, sokongan dasar yang berterusan akan mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan risiko penurunan ekoran ketidaktentuan geopolitik dan keadaan kewangan global yang semakin ketat.

 

"Prospek untuk jangka sederhana tidak berubah. Berdasarkan pertanyaan yang kami terima, sektor korporat di Malaysia masih merancang untuk tahun 2023 yang sibuk. 

 

"Malah, ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana antara 4 hingga 5% pada 2023, berbanding jangkaan pertumbuhan 6.5 hingga 7% peratus pada tahun ini, menurut Kementerian Kewangan," katanya.

 

Menurut beliau, pada 2023, Malaysia akan meraih manfaat daripada usaha syarikat korporat untuk mempelbagaikan rantaian bekalan global.

 

"Selepas gangguan pandemik, syarikat mahukan rantaian bekalan yang berlebihan dan pelbagai. Ini bermakna, mereka akan menempatkan kemudahan di ASEAN, terutamanya di Malaysia.

 

"Sebagai contoh, pandemik ini menyebabkan berlaku gangguan rantaian bekalan di China dan Apple sedang mencari rantaian bekalan yang lebih selamat," tambahnya.

 

Irhamy berkata, terdapat 20 pembekal Apple kini ditempatkan di Malaysia sekali gus menjadikan negara memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan. 

 

Malaysia mempunyai lebih banyak pembekal Apple berbanding Thailand (18), Filipina (16), India (11) dan Indonesia (2). 

 

"Saya percaya pembekal Malaysia akan menyumbang bahagian yang lebih besar dalam rantaian bekalan Apple menjelang 2025 berbanding hari ini," katanya. -DagangNews.com