KUALA LUMPUR 15 Nov - Perolehan kontrak bagi kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) untuk pengeluar minyak dan gas milik negara Brazil, Petroleo Brasileiro S.A (Petrobras) dijangka melonjakkan hasil Ranhill Utilities Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).
Ranhill Utilities semalam mengumumkan memperoleh kontrak untuk menjalankan perkhidmatan kejuruteraan reka bentuk terperinci (DDE) itu menerusi anak syarikat 51% miliknya, Ranhill Worley Sdn. Bhd. (RWSB).
Syarikat itu menandatangani kontrak berkuat kuasa pada 4 November 2022 daripada Sembcorp Marine
Integrated Yard Pte Ltd untuk sama-sama menjalankan kontrak itu dengan nilai AS$27 juta (kira-kira RM124 juta) bagi tempoh selama 14 bulan.
Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, kontrak itu dijangka menyumbang sekitar RM106 juta kepada hasil bagi FY23 manakala sebanyak RM17 juta bagi FY24.
Katanya, dengan anggaran margin projek sekitar 9 hingga 10% dan berdasarkan pegangan 51% Ranhill Utilities dalam RWSB, kontrak itu dijangka menyumbang sebanyak RM4.9 juta kepada keuntungan bersihnya atau 11% kepada hasil FY23.
"Kami menganganggarkan nilai kontrak RWSB akan meningkat kepada RM278 juta (lebih sedikit daripada hasil tahunan RWSB selama setahun), yang sebahagian besar daripadanya terdiri daripada perolehan terbaharu ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
FPSO binaan baharu itu akan menjadi antara kapal terbesar yang akan digunakan di lapangan Buzios, medan minyak dan gas yang amat dalam meliputi kawasan seluas 853 km persegi di Lembangan Santos pra-garam, kira-kira 180 km dari pantai Rio de Janeiro, Brazil.
P-82 adalah sebahagian daripada kemudahan pengeluaran generasi baharu Petrobras, mempunyai kapasiti pengeluaran yang tinggi dan teknologi yang digunakan untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida.
Unit itu akan turut dilengkapi dengan kapasiti suntikan air sebanyak 250,000 tong sehari dan kapasiti penyimpanan sebanyak dua juta tong minyak.
Berdasarkan kepada sumbangan positif kontrak tersebut, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Ranhill Utilities dengan harga sasaran tidak berubah pada 67 sen.
Menurut Hafriz, prospek kumpulan antara lain turut didorong langkah pengembangannya ke Indonesia menerusi projek bekalan air sumber ke paip (kapasiti 605MLD) yang sedang memuktamadkan Memorandum Perjanjian dan Memorandum Persefahaman serta pelancaran tender oleh pihak berkuasa Indonesia.
Pada masa sama, katanya, pelaksanaan kenaikan tarif yang masih menunggu kelulusan Kerajaan Negeri Johor akan meningkatkan hasil tahunan Ranhill Utilities kepada paras RM50 hingga RM60 juta.
Beliau berpendapat, kenaikan tarif itu bagi pengguna sektor bukan domestik pada purata 25 sen/m3 yang diluluskan Kerajaan Persekutuan akan menjadi antara pemangkin utama kepada harga saham Ranhill Utilities.
Ini kerana katanya, harga sahamnya telah mencapai titik perubahan ekoran penguncupan dalam pendapatan Ranhill SAJ disebabkan kelewatan dalam kenaikan tarif seperti yang dicerminkan dalam semakan pendapatan konsensus.
"Faktor lain yang turut mempengaruhi harga sahamnya termasuklah pentauliahan projek LSS4 pada September 2023 dan naik taraf grid di Sabah yang dijangka selesai pada FY23 dan operasi kilang pembuatan kerajang tembaga SK Nexilis di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), akan meningkatkan muatan dan menambah baik penghantaran untuk RP1 dan RP2," jelasnya.
Setakat 9.58 pagi ini, harga saham Ranhill Utilities menokok 1 sen atau 2.63% kepada 39 sen dengan 280,400 saham diniagakan. - DagangNews.com