Malaysia Madani: Sekadar Slogan era Anwar jadi PM? | DagangNews.com Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 21 January 2023

Malaysia Madani: Sekadar Slogan era Anwar jadi PM?

Sin Chew Jit Poh 19 & 20 Januari 2023

 

 

SELEPAS Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022, kita telah diperkenalkan dengan Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

 

Walaupun kerajaan baru sudah terbentuk, namun pertembungan politik tidak berhenti.

 

Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang berterusan mencetuskan pelbagai isu perkauman dan agama sebagai modal politik yang cukup untuk memeningkan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

 

PN berani berbuat demikian kerana menyedari dua kelemahan kerajaan Anwar Ibrahim iaitu perwakilan orang Melayu dalam kerajaan telah dipersoalkan dan juga skandal rasuah timbalannya, Datuk Seri Zahid Hamidi.

 

Masalah pertama walaupun nampak rumit, tetapi tidak terlalu sukar untuk diselesaikan. Selepas Anwar menjadi PM, sama ada komposisi kabinet peringkat tinggi, penyusunan dasar, slogan politik, negara keutamaan untuk dilawati, malah pemakaian sehariannya juga cukup mendedahkan ideologi Melayu yang kuat. 

 

Dari segi anggota kabinet pula, Parti Tindakan Demokratik (DAP) hanya mendapat sebahagian kecil jawatan menteri. Manakala dari segi dasar pula, Anwar mengelak sementara waktu untuk sebarang isu yang berkaitan dengan perkauman dan agama.

 

PM

 

Pada 19 Januari 2023, beliau telah melancarkan slogan politik ‘Malaysia Madani’. Slogan ini jelas kembali semula kepada pandangan sosial yang dibentuk oleh Anwar semasa menjadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Begitu juga negara pertama yang beliau lawati secara rasminya sebagai PM adalah Indonesia.

 

Semua perkara di atas, adalah untuk memberitahu pengundi Melayu bahawa Anwar adalah orang Melayu dan semestinya beliau akan mempertahankan kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

 

Oleh kerana itulah, PN sejak dua bulan kebelakangan ini gagal untuk menyerang Anwar dengan menggunakan isu mengkhianati orang Melayu. Jadi serangan hanya boleh dilancarkan terhadap menteri-menteri kabinet, tetapi impaknya sangat kecil.

 

Dari perspektif ini, prestasi kerajaan pimpinan Anwar dalam dua bulan lalu boleh dianggap sebagai satu kejayaan. Perkara penting di sini bukanlah apa yang perlu dilakukan, tetapi apa yang tidak boleh dilakukan.

 

Dari segi politik, Anwar sudah tentu boleh menggunakan imej untuk menghias garis politiknya. Tetapi dalam menghadapi situasi ekonomi yang berisiko, ia bukan sesuatu yang mudah untuk menyingkirkannya.

 

Dilema ekonomi Kerajaan Perpaduan

Melangkah ke tahun 2023, keadaan ekonomi negara kita masih tidak menentu. Inflasi masih belum menunjukkan tanda-tanda di dalam kawalan. Sudah tentu faktor-faktor luaran seperti kenaikan kadar Rizab Persekutuan AS (FED), Perang Rusia-Ukraine dan ekonomi China yang lemah memainkan peranan dalam inflasi.

 

Tetapi pengundi tidak akan ambil peduli perkara-perkara ini. Apabila kehidupan rakyat susah, kerajaan harus dipersalahkan. Apabila mata wang kita tidak bernilai, maknanya Anwar tidak cukup berusaha. Lihatlah betapa terdesaknya rakyat sekarang!

 

KWSP

 

Baru-baru ini, Ketua Penerangan Parti Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencadangkan agar kerajaan sekali lagi membenarkan rakyat mengeluarkan wang tunai daripada tabung simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengurangkan beban hidup.

 

Cadangan ini telah menerima banyak maklum balas positif di media sosial, yang menunjukkan betapa sukarnya kehidupan rakyat sekarang.

 

Dan sudah tentu tindakan Wan Saiful ini adalah atas dasar kepentingan politik untuk PN. Sekiranya Anwar tidak menerima cadangan tersebut, jadi PN boleh menyerang Anwar kerana tidak mengendahkan nasib orang Melayu. Sekiranya Anwar menerima pula, ia akan memberi kredit kepada PN.

 

Seterusnya, Bajet 2023 yang bakal dibentangkan akan menjadi pertempuran Anwar dan dilema bagi kerajaan. Jika jumlah peruntukan yang diberikan tidak mencukupi, ia pasti akan menerima serangan hebat oleh PN dan secara langsung akan menjejaskan peluang untuk memenangi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

 

Tetapi jika diberikan peruntukan yang besar, maka kerajaan akan menghadapi defisit fiskal yang lebih besar. Bagi lima tahun akan datang, kerajaan tidak akan mempunyai kapasiti wang yang mencukupi untuk melaksanakan program pembangunan yang diperlukan, atau mengekalkan perbelanjaan harian kerajaan.

 

Masalah ekonomi adalah dilema terbesar Malaysia, lebih-lebih lagi selepas kes 1MDB yang mendedahkan lubang hitam kewangan negara. Jika ia tidak dibetulkan secepat mungkin, akibatnya akan membawa bencana.

 

Pada masa ini, hutang negara kita menghampiri RM1.2 trilion. Sudah jelas angka ini tidak boleh diisi dengan ‘menyekat perbelanjaan’, tetapi juga perlu meningkatkan hasil secara aktif.

 

MOF

 

Bagi perniagaan yang pernah berurusan dengan kerajaan, kebanyakan mereka telah berdepan banyak karenah semasa permohonan, lambat dan berlengah-lengah menunggu kelulusan.

 

Proses sebegini sangat memenatkan dan membuang masa, malah menjadi batu penghalang kepada dasar ‘sumber terbuka’ yang cuba dilaksanakan oleh PM.

 

Anwar menyifatkan belanjawan tahun ini adalah untuk memulihkan keyakinan pelabur di dalam dan luar negara, serta mempercepatkan kelulusan agar segera dapat menarik modal asing.

 

Tetapi beliau ada memberi contoh sebuah syarikat yang mengambil masa dua tahun untuk mendapatkan kelulusan bagi melancarkan ladang organik.

 

Kita dapat melihat tindak balas pantas Anwar. Beliau segera mengarahkan supaya mempercepatkan pengeluaran dokumen kelulusan kerana sebarang kelewatan hanya akan menjejaskan ekonomi negara.

 

Dalam hal ini, ketua jabatan yang terlibat perlu bertanggungjawab dan menanggung akibatnya.

 

Tahun baru ini, Anwar dan kerajaannya tidak mempunyai masa untuk berehat. Mereka mesti membuat perancangan yang sempurna untuk menuju ke matlamat utama mengekalkan kuasa.

 

Walaupun sambutan Tahun Baru Cina lebih meriah selepas pandemik, tetapi rakyat masih tidak dapat merasainya selagi politik dan ekonomi negara masih suram.

 

parafrasa

 

Malaysia Madani buka ruang penambaikan negara

Kelestarian, kemakmuran, inovasi, penghormatan, kepercayaan dan keprihatinan adalah elemen asas kepada ‘Malaysia Madani’.

 

Kita telah menerima Kerajaan Perpaduan, seterusnya slogan ‘Malaysia Madani’ akan sering kita lihat dan dengar dalam pelbagai acara dan ucapan kerajaan.

 

Konsep ‘Malaysia Madani, jelas  menunjukkan bahawa Malaysia masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan.

 

Jika PM berjaya memimpin Kerajaan Perpaduan untuk menghapuskan pelbagai halangan dalam proses ketamadunan, termasuk menyelesaikan rasuah rasmi dan pakatan sulit antara pegawai dan ahli perniagaan; ahli politik menimbulkan konflik etnik; menerima pendidikan pelbagai aliran;  bertolak ansur dengan budaya tradisional dan kepercayaan agama kumpulan etnik yang berbeza; pembangunan bandar dan luar bandar yang sempit dan jurang antara kaya dan miskin; menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan purata pendapatan tahunan negara.

 

Adakah slogan kali ini akan berjaya atau gagal?

Walaupun ia tidak boleh dicapai dalam sekelip mata, tetapi selagi kita bersedia untuk mencuba, selagi itu ada harapan. – DagangNews.com

 
 
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh pada 19 dan 20 Januari 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags