Matrade cipta lebih banyak peluang eksport peranti perubatan, perkhidmatan penjagaan kesihatan Malaysia ke MENA | DagangNews Skip to main content

Matrade cipta lebih banyak peluang eksport peranti perubatan, perkhidmatan penjagaan kesihatan Malaysia ke MENA

KUALA LUMPUR 26 Jan - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) terus mencipta peluang eksport untuk peranti perubatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan negara di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) dengan menerajui penyertaan syarikat tempatan di Arab Health 2023.

 

Permintaan untuk produk dan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan di MENA dijangka mencecah RM33.31 bilion (AS$7.92 bilion) pada 2025, kata Matrade.

 

Pada 2022, lima destinasi eksport utama peranti perubatan Malaysia di rantau MENA ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Qatar dan Maghribi.

 

Secara kolektif, pasaran itu menyumbang 77.32% daripada eksport peranti perubatan Malaysia ke rantau ini.

 

Pengarah Gaya Hidup dan Sains Hayat Matrade, Razida Hanim Abdul Razak berkata, eksport peranti perubatan ke rantau MENA pada tahun tersebut berjumlah RM316.1 juta.

 

"Tahun ini menandakan tahun ke-19 penyertaan Matrade dalam acara ikonik ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Penganjuran Arab Health 2023 akan diadakan di Dubai bermula 30 Januari hingga 2 Februari 2023. 

 

Razida berkata, acara itu merupakan platform perdagangan penjagaan kesihatan terulung tidak dipertikaikan oleh ramai peserta pameran.

 

Beliau berkata, berkata pameran Arab Health telah melangkaui perspektif serantau dan kini menarik pengunjung perdagangan global yang telah menandakan acara itu dalam kalendar tahunan mereka.

 

"Berdasarkan aliran semasa, kami menjangkakan terdapat permintaan global yang stabil untuk produk penjagaan kesihatan berkualiti Malaysia bagi 2023 manakala rantau MENA menawarkan peluang eksport berpotensi tinggi untuk Malaysia.

 

"Penyertaan dalam acara berskala besar yang terkenal seperti Arab Health akan membantu meningkatkan penjenamaan Malaysia dalam kalangan pembeli," katanya.

 

Matrade menganjurkan penyertaan 10 syarikat peranti perubatan dan farmaseutikal Malaysia di Arab Health 2023.

 

Syarikat terlibat termasuk KPJ Healthcare Berhad, UEM Edgenta Berhad, Ain Medicare Sdn. Bhd., Xepa-Soul Pattinson (Malaysia) Sdn. Bhd., Ming Medical Sdn. Bhd., Muzamal Industries Sdn. Bhd., Timo International Sdn. Bhd., TPE Healthcare Sdn. Bhd., TUD Sdn. Bhd. dan Twin Catalyst Sdn. Bhd. - DagangNews.com