Memahami falsafah sebenar institusi perbankan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 25 Oct 2022 08:08 AM

MEMAHAMI FALSAFAH SEBENAR INSTITUSI PERBANKAN ISLAM

 

 

Faktor yang mempengaruhi pembentukan falsafah sesebuah organisasi boleh dibahagikan kepada dua, iaitu faktor luaran dan faktor dalaman.

 

Apabila sesebuah bank Islam mahu ditubuhkan, maka falsafah bank yang ditubuhkan itu akan dipengaruhi oleh faktor-faktor tersebut.

 

Salah satu falsafah wajib jika sesebuah bank Islam mahu menitikberatkan masalah sosial, maka menurut Prof. Dr. Sudin Haron dalam bab buku beliau menggariskan 4 perkara berikut:
 

  1. Undang-undang menghendaki sesebuah bank itu mengasingkan sebahagian daripada keuntungannya untuk tujuan pendidikan, penyelidikan atau pembangunan umat.  Maka jika bank itu mendapat keuntungan, sudah  semestinya peruntukan tersebut dibuat.
     
  2. Undang-undang menghendaki bank Islam menyediakan sebahagian dana untuk pinjaman berbentuk qard hassan atau menyalurkan bantuan kepada mereka yang kurang upaya atau golongan berpendapatan rendah.
     
  3. Terdapat banyak pesaing lain yang membuat program berbentuk sosial, maka untuk menunjukkan bahawa organisasinya juga prihatin, bank perlu juga mengadakan program yang serupa.
     
  4. Bank berada dalam kelompok masyarakat yang amat tinggi sifat keprihatinannya, maka apa jua program berbentuk sosial akan mendapat sokongan padu pelanggannya.  Sebagai contoh, jika ada tabung berbentuk sosial dilancarkan maka sokongan yang padu diberikan oleh pelanggan.



Falsafah mendapatkan keuntungan yang maksimum boleh diamalkan. Pihak pengurusan mesti menimbang apa yang pemegang saham bank mereka mahu.

 

Dalam keadaan biasa, pemikiran pihak pengurusan akan dipengaruhi oleh tiga tanggapan. 

 

Tanggapan 1: pemegang saham sememangnya mahukan pulangan yang tinggi ke atas pelaburannya. 

 

Jika tanggapan ini wujud maka pihak pengurusan akan berusaha keras untuk mendapatkan keuntungan bagi diberikan kepada pemegang saham. 

 

Jika pulangan yang tinggi dapat diberikan kepada pemegang saham, maka besar kemungkinan mereka akan terus diberi kepercayaan untuk menerajui bank tersebut. 

 

Keuntungan yang besar juga menunjukkan prestasi cemerlang dan keberkesanan dalam mengurus. 


 

Iktisad

 


Tanggapan 2: Berkaitan dengan ganjaran yang mereka akan miliki. 

 

Sekiranya pihak pengurusan beranggapan bahawa ganjaran yang akan mereka peroleh banyak bergantung kepada keuntungan yang dapat dicapainya maka mereka akan berusaha sedaya upaya memaksimumkan keuntungan. 

 

Hal ini disebabkan mereka beranggapan semakin besar keuntungan yang diperoleh oleh bank maka semakin besar ganjaran yang mereka peroleh dalam bentuk bonus dan juga kenaikan gaji tahunan.

 

Tanggapan 3: Pendeposit mesti diberi pulangan yang tinggi kerana pulangan yang rendah akan mereka berpindah ke bank lain.

 

Perpindahan pendeposit ke bank lain kerana tidak berpuas hati dengan pulangan yang diterima ke tempat lain akan memberi imej buruk kepada bank. 

 

Dalam keadaan sebegini, pihak pengurusan akan juga sedaya upaya memaksimumkan keuntungan agar pulangan yang tinggi boleh diberikan kepada pendeposit.


 

parafrasa

 


Oleh itu maka tiga pendorong utama iaitu mahukan pulangan yang tinggi untuk diberikan kepada pemegang saham demi kerjaya mereka di masa akan datang, mahukan keuntungan yang tinggi agar gaji mereka dapat naik ke tahap maksimum, bonus tahunan yang banyak dan lain-lain imbuhan dan ganjaran.

 

Mereka juga mahukan pelanggan diberi ganjaran yang besar agar mereka tidak lari ke tempat lain akan mempengaruhi pimpinan atasan bank ini memegang falsafah keuntungan yang maksimum dan melupakan unsur sosial dan kebajikan umat.

 

Mereka mungkin menjadikan aktiviti sosial seperti mengadakan pinjaman qard, pembiayaan kepada peniaga kecil dan lain-lain sebagai pilihan yang paling terendah.

 

Perkhidmatan perbankan Islam seharusnya mengamalkan keseluruhan perjalanannya tertakluk kepada prinsip-prinsip perniagaan Islam.

 

Oleh itu, sekiranya ada pandangan yang mengatakan bahawa bank Islam atau institusi kewangan Islam hanya perlu mementingkan keuntungan semata-mata, maka pegangan ini adalah pegangan mereka yang dipengaruhi oleh pemikiran konvensional.

 

Ini tidak bererti bank Islam tidak perlu kepada keuntungan tetapi keuntungan ini perlu diselaraskan dengan melakukan yang terbaik dan teradil untuk setiap urus niaga.

 

Oleh yang demikian objektif penubuhan bank Islam adalah hasil adunan landasan keagamaan dan landasan perniagaan biasa, maka aktiviti perniagaan yang dijalankan, iaitu segala aktiviti yang berkaitan dengan urusan kewangan dan perbankan perlu dijalankan selaras dengan prinsip dan perundangan Islam. 

 

Bank ini juga ditegah daripada terlibat dalam apa juga perniagaan yang dilarang oleh Islam.  Islam sebenarnya menggalakkan pengikutnya untuk bergiat dalam bidang perniagaan.


 

Iktisad

 


Perkara pokok dalam sistem perbankan Islam yang berdasarkan hukum Syariah ialah larangan mutlak terhadap unsur-unsur riba.   Perbuatan memberi dan mengambil riba dilarang oleh al-Quran dan Hadis.  

 

Falsafah perniagaan amat luas bidangnya dan meliputi pelbagai persoalan seperti pegangan, amalan dan panduan-panduan yang diikuti ketika bank Islam menjalankan perniagaannya.

 

Falsafah perniagaan juga meliputi corak dan bentuk perhubungan yang diamalkan oleh bank ketika berurusan dengan penyimpan, pelabur, dan golongan lain yang memerlukan bantuan dan perkhidmatannya. 

 

Bagi penulis, falsafah perniagaan ini perlu didukung bukan sahaja oleh pihak pembuat polisi tetapi juga golongan pelaksana.

 

Dalam erti kata lain pihak-pihak yang terlibat termasuklah lembaga pengarah, pengurus-pengurus, dan kakitangan lain di bank Islam.   

 

Falsafah perniagaan ini kadangkala berbeza dengan misi syarikat dan kadangkala berlainan dengan objektif yang mahu dicapai oleh syarikat tersebut.


 

Dr. Wahbah Al-Azuhaily
                Dr. Wahbah Al-Azuhaily

 


Dr. Wahbah Al-Azuhaily (2003) telah menyarankan betapa pentingnya sesebuah bank Islam itu mempamerkan perbezaannya dengan bank konvensional. 

 

Di samping mematuhi peraturan dan perundangan Islam, bank Islam mestilah boleh bersaing dengan bank konvensional dan berupaya memenuhi keperluan perbankan dan ekonomi orang-orang Islam. 

 

Antara sifat-sifat utama institusi perbankan yang berbeza adalah seperti berikut:

  1. Ia mematuhi sepenuhnya tuntutan akidah dengan tidak terlibat di dalam urusniaga yang ada unsur-unsur riba dan lain-lain perniagaan yang dilarang oleh Islam.
     
  2. Ia mempunyai sifat prihatin dan lebih memahami ketika pelanggannya menghadapi kesulitan kewangan.
     
  3. Matlamat utamanya bukanlah memaksimumkan keuntungan tetapi perlu mempunyai matlamat sosial bagi pembangunan sosioekonomi dan pengurangan kemiskinan.
     
  4. Ia telus di dalam setiap urus niaganya.  Oleh itu pendeposit akan lebih jelas ke mana wangnya digunakan dan pulangan yang akan diterimanya.  Begitu juga keadaannya dengan pembiayaan yang diberikan agar tidak akan ada unsur-unsur penindasan.
     
  5. Operasi yang menjadi amalan oleh mereka berbeza dengan amalan bank konvensional dan ia meliputi aspek penerimaan deposit dan juga pembiayaan.
     
  6. Ia memberikan perkhidmatan kepada semua kelompok masyarakat tanpa memilih jenis dan status pelanggan.
     
  7. Ia mengenakan caj kepada pelanggan selaras dengan kos sebenar yang dikeluarkan ketika memberikan perkhidmatan itu.  - DagangNews.com

 

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD