MIDF Research semak naik unjuran eksport, import masing-masing berkembang 26% dan 30.5% | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak naik unjuran eksport, import masing-masing berkembang 26% dan 30.5%

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Okt - MIDF Research menyemak naik unjuran perkembangan eksport dan import masing-masing sebanyak 26% and 30.5% selepas permintaan luaran kekal stabil walaupun terdapat kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang perlahan.

 

Firma itu menjangkakan kadar pertumbuhan yang lebih sederhana untuk kedua-dua eksport dan import dalam beberapa bulan terakhir 2022 apabila kesan asas rendah berkurangan.

 

Katanya, setakat ini, eksport dan import meningkat masing-masing sebanyak 30.3% dan 36.2% dalam sembilan bulan 2022.

 

"Sektor perdagangan mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi, peningkatan permintaan luar untuk E&E dan komoditi (iaitu petroleum dan minyak sawit), dan peningkatan berterusan dalam pengeluaran global dan aktiviti perdagangan antarabangsa.

 

"Import akan terus berkembang berikutan permintaan domestik yang semakin meningkat, dan peningkatan aktiviti perniagaan dan perbelanjaan pengguna.

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat terdapat beberapa risiko kepada prospek perdagangan jangka pendek, kebanyakannya daripada ketidaktentuan luaran seperti kemerosotan dalam prospek pertumbuhan global, permintaan yang lebih lemah (akibat daripada kenaikan inflasi dan kos pinjaman) serta ketegangan geo-politik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Perdagangan Malaysia terus meningkat pada September 2022, dengan mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan yang juga nilai tertinggi bagi bulan tersebut setakat ini.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, perdagangan naik 31.4% kepada RM256.91 bilion berbanding September 2021, pertumbuhan dua angka yang ke-20 bulan berturut-turut.

 

Eksport meningkat 30.1% kepada RM144.31 bilion, pertumbuhan dua angka yang ke-14 bulan berturut-turut, manakala import berkembang 33% kepada RM112.60 bilion dan lebihan dagangan mencatatkan rekod tertinggi baharu, bertambah sebanyak 20.9% kepada RM31.71 bilion. - DagangNews.com