KUALA LUMPUR 15 Nov - Sistem pencen di Malaysia melalui pelbagai perubahan stuktur ketika pandemik COVID-19 terutamanya dengan pengeluaran dana persaraan itu melebihi RM145 bilion.
Keadaan itu menyebabkan ketidakseimbangan kepada sistem tersebut, mengakibatkan berjuta rakyat tidak memiliki perlindungan persaraan yang mencukupi, demikian kebimbangan yang disuarakan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Pada masa sama, populasi di Malaysia semakin menuju penuaan dan akan mencapai 'komuniti berusia' dalam tempoh sedekad lagi.
Sehubungan itu, MIER menggesa supaya kerajaan akan datang menubuhkan sebuah Panel Semakan Semula Persaraan Kebangsaan yang bebas bagi membincangkan isu-isu struktur dan model yang sesuai untuk menangani masalah sedia ada dalam sistem berkenaan.
Malah, terdapat keperluan yang perlu diakui bahawa peruntukan persaraan semasa bagi rakyat Malaysia adalah tidak mencukupi dan ia satu isu mendesak yang memerlukan perhatian segera.
"Pembaharuan persaraan ini hendaklah bersifat universal dan holistik serta merangkumi Pencen Asas Sejagat yang menjamin pencen minimum yang mencukupi untuk semua rakyat Malaysia dan menyediakan pendapatan mencukupi untuk menampung perbelanjaan asas, penjagaan kesihatan, insurans dan kos sara hidup," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 6 September lalu, MIER menganjurkan 'Meja Rundingan Dasar Masa Depan Persaraan dan Perlindungan Sosial di Malaysia' yang dihadiri 20 wakil daripada industri perlindungan sosial, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.
Meja rundingan itu berkongsi beberapa idea mengenai landskap persaraan semasa di Malaysia, peranan sektor awam dan swasta dalam sistem berkenaan, selain kemungkinan melaksanakan pembaharuan.
Menurut MIER, isu yang sering diabaikan mengenai kemudahan persaraan dan 'di mana masyarakat menua' perlu ditangani begitu juga dengan isu 'bagaimana masyarakat menua', termasuk bantuan penjagaan diri serta sokongan dapat disediakan dan dibiayai.
Ia berkata, pembaharuan itu juga mesti merangkumi mereka yang bukan dalam tenaga buruh, bekerja dalam pekerjaan tidak formal atau dalam ekonomi gig, dan bukan warga Malaysia yang tinggal di sini, termasuk pekerja asing dan pelarian.
"Kami mengesyorkan model sejagat dan holistik dengan sistem berperingkat yang merangkumi tonggak bukan caruman, tonggak caruman wajib, skim persaraan swasta (PRS) dan pilihan untuk bentuk pendapatan dan sokongan lain pada hari tua melebihi pencen," jelasnya.
Malah, institut itu turut mencadangkan penubuhan Malaysian SuperFund bagi menyediakan penyelesaian kewangan mampan bagi menyokong Persaraan Asas Universal.
Katanya, ini termasuk pilihan menggunakan pembiayaan Islam dan mengumpulkan dana tidak berpretasi baik ke dalam pengurusan persaraan keseluruhan.
"Paling utama, kami mencadangkan supaya Malaysia memiliki cita-cita tinggi dan berusaha menyediakan sistem berkelas dunia yang mampan bagi memberikan persaraan yang selamat, terhormat serta bermaruah untuk semua rakyat," tegasnya. - DagangNews.com