Nazri Aziz dilantik jadi duta ke Amerika Syarikat, kerajaan tukar lagi dasar? | DagangNews Skip to main content

Nazri Aziz dilantik jadi duta ke Amerika Syarikat, kerajaan tukar lagi dasar?

Datuk Nazri Aziz menerima watikah pelantikan sebagai duta AS daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 9 Februari 2023. - Gambar Istana Negara

KUALA LUMPUR 9 Feb - Meskipun menafikan khabar angin Jun lalu, bekas ahli majlis tertinggi UMNO Datuk Seri Nazri Abdul Aziz telah dilantik sebagai duta Malaysia ke AS.

 

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong menyampaikan surat tauliah kepada Nazri dan sembilan lagi ketua perwakilan diplomatik hari ini di Istana Negara.

 

Beliau adalah satu-satunya ahli politik daripada beberapa ketua perwakilan diplomatik di luar negara yang baru dilantik yang diumumkan Wisma Putra hari ini.

 

Keputusan memberi Nazri jawatan itu juga dilihat sebagai `cakap tak serupa bikin' kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang berikrar untuk melantik hanya diplomat bagi mewakili perwakilan asing negara di luar negara.

 

Duta-duta baharu lain yang disampaikan dengan surat kepercayaan ialah: bekas duta ke UAE Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin (Indonesia); bekas duta Malaysia ke Itali Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony (Filipina); bekas duta ke Uzbekistan Hendy Assan (Bandar Vatican); bekas konsul jeneral di Australia Hafizah Abdullah (Sweden); bekas pesuruhjaya tinggi ke Nigeria Gloria Corina Peter Tiwet (Brazil); serta diplomat Ruzaimi Mohamad (Kenya), Suzilah Mohd Sidek (Republik Czech), Amarjit Singh Sarjit Singh (Timor-Leste) dan Alauddin Mohd Nor (Kuwait).

 

 

new duta

 

 

Nazri merupakan lulusan dari Lincoln’s Inn di UK dan mempunyai pengalaman luas berkhidmat dalam kabinet sebelum ini, menurut kementerian itu.

 

Selepas enam penggal di Parlimen, Nazri mengumumkan pada 2021 bahawa beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

Nazri pertama kali dipilih sebagai ahli parlimen Chenderoh pada 1995. Beliau memegang jawatan itu melalui pilihan raya 1999. Kemudian, beliau memutuskan untuk bertanding di kawasan Padang Rengas yang baru dibentuk, yang dimenanginya dalam empat pilihan raya berturut-turut.

 

Sebelum itu, beliau dilantik ke Dewan Negara pada 1990.

 

Nazri juga pernah berkhidmat sebagai menteri pelancongan dan kebudayaan, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang, dan menteri pembangunan usahawan.

 

Kerajaan telah menjadikannya amalan untuk melantik ahli politik kanan atau bersara sebagai utusan khas atau duta, dan sebahagian daripada mereka telah menerima faedah yang sama seperti menteri persekutuan.

 

Pada 2011, mendiang bekas presiden MIC Tun Samy Vellu dilantik sebagai utusan khas ke India dan Asia Selatan, dan bekas presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting dilantik sebagai utusan khas ke China.

 

Pada Ogos 2018, Ahli Parlimen DAP Cheras Tan Kok Wai telah dipilih untuk berkhidmat sebagai wakil khas ke China.

 

Semasa pentadbiran Perikatan Nasional, utusan khas termasuk Tan Sri Abdul Hadi Awang (Timur Tengah), Datuk Seri Tiong King Sing (China), Datuk Seri Richard Riot Jaem (Jepun, Korea, dan Taiwan) dan Tan Sri S. Vigneswaran (India dan Asia Selatan). - DagangNews.com