KUALA LUMPUR 7 Nov - Pelabur asing kembali menjual ekuiti tempatan minggu lalu sebanyak RM275.92 juta, berbanding pembelian pada minggu sebelumnya berjumlah RM292.7 juta.
Laporan aliran dana mingguan MIDF Research menunjukkan aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM265.04 juta diikuti Selasa dan Isnin masing-masing sebanyak RM66.99 juta dan RM8.4 juta.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan membeli ekuiti tempatan dengan aliran paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM203.87 juta diikuti pada Selasa dan Isnin masing-masing sebanyak RM77.58 juta dan RM30.84 juta.
"Sebaliknya, pelabur institusi tempatan hanya menjual ekuiti pada Jumaat dan Rabu dengan masing-masing sebanyak RM38.44 juta dan RM11.51 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.
Pelabur tempatan turut merekodkan aliran masuk sebanyak RM13.57 juta minggu lalu, sebelum menjual ekuiti pada Isnin, Selasa dan Jumaat masing-masing sebanyak RM22.45 juta, RM10.59 juta dan RM25.91 juta.
MIDF Research mendapati tiga sektor mencatatkan aliran keluar bersih paling banyak iaitu perkhidmatan kewangan sebanyak RM270.3 juta, penjagaan kesihatan (RM88.2 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM37.7 juta).
"Tiga sektor yang mencatat aliran masuk asing paling tinggi pula ialah produk dan perkhidmatan pengguna sebanyak RM43.9 juta, utiliti (RM22.9 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM17.3 juta)," katanya.
Setakat tahun ini, dana antarabangsa telah mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM5.76 bilion dalam tempoh 25 daripada 44 minggu berbanding aliran keluar sebanyak RM7.89 bilion yang direkodkan pelabur institusi tempatan dalam tempoh 30 minggu.
Pelabur runcit pula telah membeli ekuiti tempatan selama 28 daripada 44 minggu, yang setakat tahun ini berjumlah RM2.14 bilion.
Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan nilai purata dagangan harian (ADV) bagi pelabur asing dan runcit dengan masing-masing meningkat 13.53% dan 2.76%. Namun, ADV bagi pelabur institusi tempatan susut 8%.
Pada minggu lalu, FBM KLCI susut 0.62% untuk berakhir pada 1,438.28 mata pada Jumaat manakala ringgit juga susut 0.48% berbanding dolar AS sebelum mengakhiri dagangan pada RM4.7477. - DagangNews.com