Pelabur asing paling banyak jual saham Public Bank, CIMB dan Maybank minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing paling banyak jual saham Public Bank, CIMB dan Maybank minggu lalu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Jan - Saham berkaitan perkhidmatan kewangan dan produk perindustrian terutamanya Public Bank, CIMB dan Maybank paling banyak dijual pelabur asing sepanjang minggu lalu, demikian menurut CGS-CIMB Research. 

 

Bagi minggu berakhir 20 Januari itu, pelabur asing merekodkan jualan ekuiti sebanyak RM169 juta, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding minggu sebelumnya menjadikan jualan setakat tahun ini sebanyak RM143 juta. 

 

"Pelabur asing menjual saham Public Bank sebanyak RM72.4 juta manakala CIMB (RM71.6 juta) dan Maybank (RM56.5 juta)," katanya dalam laporan aliran dana mingguan dana hari ini. 

 

CIMB merupakan saham paling banyak dibeli pelabur institusi tempatan tetapi jualan bersih kedua terbesar untuk pelabur institusi asing.

 

Sementara itu, pelabur institusi asing paling banyak membeli saham Sime Darby Plantation tetapi paling banyak dijual pelabur institusi tempatan.

 

Public Bank pula paling banyak dibeli pelabur runcit tetapi mencatat jualan bersih terbesar bagi pelabur institusi asing.

 

CGS-CIMB mendapati pelabur institusi tempatan meneruskan pembelian ekuiti mereka terutamanya dalam sektor teknologi buat minggu ke-30 manakala sektor tenaga bagi minggu kesembilan.

 

"Pelabur asing meneruskan jualan bersih dalam sektor perladangan untuk minggu ke-13 berturut-turut dan kekal sebagai pembeli bersih sektor teknologi untuk minggu kelima berturut-turut," katanya.

 

Pada minggu lalu, pelabur institusi tempatan membeli RM398 juta ekuiti lebih rendah daripada RM436 juta pada minggu sebelumnya. 

 

"Mereka merupakan pembeli bersih bagi sektor perkhidmatan kewangan dan produk perindustrian dengan membeli paling banyak saham CIMB, Hong Leong dan Maybank," katanya.

 

Dalam pada itu, dagangan pelabur runcit menurun 24% minggu ke minggu kepada RM222 juta, menjadikan jualan bersih setakat ini kepada RM463 juta. 

 

Pelabur runcit paling banyak menjual saham dalam sektor produk perindustrian dan teknologi terutamanya Press Metal, Nationgate dan Velesto. - DagangNews.com