KUALA LUMPUR 20 Dis - Pemegang saham Opcom Holdings Bhd. dalam mesyuarat agung luar biasa hari ini meluluskan cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan dalam T&J Engineering Sdn. Bhd. (TJE) melibatkan pertimbangan pembelian sehingga RM90 juta.
Ia akan dilaksanakan secara tunai dan terbitan saham baharu dengan menjangkakan langkah pengambilalihan itu dimuktamadkan pada separuh pertama 2023.
Selain itu, pemegang saham juga meluluskan cadangan kepelbagaian seterusnya Opcom dan anak syarikatnya untuk melibatkan perniagaan penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi.
Pengarah Eksekutif Opcom, Ong Soon Lim, pengambilalihan itu membolehkan kumpulan meningkatkan akses dalam rangkaian dan perniagaan TJE serta mengembangan perniagaan teras Opcom termasuklah perniagaan penyelesaian rangkaian infrastruktur telekomunikasi.
Katanya, ia tidak terhad kepada penubuhan infrastruktur berkaitan telekomunikasi baharu, pengurusan rantaian bekalan, pergudangan dan penyelenggaraan rangkaian dan perkhidmatan nilai tambah lain seperti perkhidmatan keterhubungan, keselamatan, pusat data dan akses internet berkaitan perkhidmatan awan.
"Perniagaan penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi adalah pelengkap dan sinergi kepada perniagaan teras Opcom bagi pembuatan kabel gentian optik.
"Malah, ia juga sebahagian daripada strategi pertumbuhan kumpulan untuk mempelbagaikan perniagaan menjana pendapatan yang menguntungkan dan mampan dalam tempoh jangka panjang," katanya dalam kenyataan di Bursa Malaysia hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Opcom, Datuk Mazlin Md Junid berkata, pengambilalihan TJE memberi jaminan keuntungan sebanyak RM60 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) hingga FY25 dengan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan dalam tempoh terdekat.
"Kami sangat teruja dengan prospek kumpulan berikutan cadangan pengambilalihan dan kepelbagaian ini, justeru, kami amat berterima kasih kepada sokongan para pemegang saham ketika Opcom memulakan fasa pertumbuhan seterusnya," jelasnya. - DagangNews.com