Belanjawan 2023: Pentaksiran bilik darjah di sekolah, bagaimana kita boleh membantu guru? | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2023: Pentaksiran bilik darjah di sekolah, bagaimana kita boleh membantu guru?

oleh ALIA WAHIDIN, Pengarah Projek Malaysian Collective Impact Initiative (MCII)

Inisiatif Impak Kolektif Malaysia atau Malaysian Collective Impact Initiative (MCII) menyambut baik komitmen yang ditunjukkan Kerajaan dalam sektor pendidikan melalui peruntukan besar bernilai RM55.2 bilion di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dalam pengumuman Bajet 2023, yang mengutamakan infrastruktur sekolah dan kebajikan murid.

 

Kami juga berharap untuk mengetahui lebih lanjut tentang perancangan lain yang melibatkan para guru. Tidak dinafikan, pemacu pendidikan anak-anak kita terletak di tangan pendidik.

 

Pada masa ini, pelaburan untuk pembangunan profesional guru dilaporkan sekitar RM30 setahun bagi setiap guru. Ini sememangnya membimbangkan kerana sokongan untuk kemajuan profesion ini perlu bergerak seiring dengan standard pengajaran yang semakin meningkat pesat terutamanya dalam era pasca pandemik.

 

Seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini mengenai tujuh langkah segera yang diambil di bawah teras kelima KPM, kami menjangka impak yang mendalam di peringkat akar umbi menerusi langkah ketujuh.

 

Langkah ini memfokuskan kepada pengukuhan autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

 

 

mcii

 

 

PBD merupakan satu bentuk penilaian berterusan yang berlaku semasa sesi PdP untuk mengumpul maklumat tentang progres, kebolehan dan pencapaian murid. Ia dilihat sebagai alternatif kepada penilaian tradisional yang memberi tumpuan kepada peperiksaan awam.

 

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyokong konsep PBD sebagai sebuah cara untuk menggalakkan keberhasilan murid yang holistik. Dengan membenarkan guru mempunyai autonomi yang lebih besar dalam perancangan dan pelaksanaan PdP serta PBD, sekolah dapat menyokong keperluan murid dengan lebih baik dan menggalakkan sistem pendidikan yang lebih berkesan serta saksama.

 

Menurut data terbaru dalam ‘Laporan MCII: Hasil Dapatan Tinjauan dan Sesi Meja Bulat Pendidikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)’, didapati lebih daripada 70% guru (daripada sekitar 240 responden) secara amnya bersetuju bahawa pelaksanaan PBD adalah lebih baik untuk membangunkan potensi, bakat dan kebolehan murid berbanding peperiksaan awam.

 

Namun, hanya 25% guru yang mengalami kepuasan melaksanakannya. Jurang yang besar ini menimbulkan banyak persoalan, termasuk apakah puncanya dan adakah guru kita mempunyai kapasiti serta keupayaan untuk melaksanakan PBD? Sedalam manakah isu ini?

 

MCII

Malaysian Collective Impact Initiative (MCII) adalah sebuah NGO berasaskan pendidikan yang bertindak sebagai penyambung dan pemboleh bagi sekolah meningkatkan keberhasilan murid menggunakan model impak kolektif.

 

Untuk ‘Laporan MCII: Tinjauan dan Sesi Meja Bulat Pendidikan Mengenai Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)’, MCII telah menganalisis data kualitatif dan kuantitatif yang dikumpul melalui tinjauan para guru dan sesi meja bulat yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem pendidikan. Ia bertujuan untuk melaporkan penilaian input, proses dan hasil pelaksanaan PBD di sekolah secara komprehensif.

 

Dalam laporan ini, cabaran yang dikenal pasti oleh pihak berkepentingan yang berbeza dapat dikategorikan di bawah beberapa tema, termasuk Persekitaran Bilik Darjah Kondusif, Sukatan Mata Pelajaran, Peruntukan Masa, Jaminan Kualiti Data dan Kaedah Penilaian.

 

Antara cabaran utama untuk melaksanakan PBD ialah saiz kelas yang besar, terutamanya bagi guru yang mengajar beberapa kelas dan mata pelajaran.

 

 

parafrasa

 

 

Silibus mata pelajaran yang berlebihan mengehadkan jumlah masa yang ada untuk guru menjalankan penilaian, memulakan intervensi dan memberikan maklum balas individu kepada murid. Kehadiran yang rendah dan sikap negatif murid terhadap PBD juga boleh mempengaruhi pengesanan (tracking), ketepatan dan ketulenan data PBD, seterusnya menjejaskan kualiti penilaian tersebut.

 

Tambahan pula, kekurangan pemahaman atau ketidakbiasaan dengan deskriptor dan penyelarasan markah PBD menyukarkan para guru membuat kesimpulan data.

 

Kebergantungan besar kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) mencadangkan bahawa guru mungkin berasa terhad dalam keupayaan mereka untuk membuat penilaian secara bebas, atau mereka mungkin tidak mempunyai literasi penilaian yang mencukupi untuk menggabungkan pelbagai kaedah penilaian.

 

Pihak berkepentingan yang terlibat dalam laporan ini menyedari bahawa untuk pelaksanaan PBD benar-benar berkesan, perubahan perlu melibatkan beberapa lapisan terutamanya di peringkat sistemik. Di sini dapat disimpulkan bahawa daya maju PBD tidak dapat dipisahkan daripada kesejahteraan guru dari segi pembangunan profesional dan sokongan kesihatan mental.

 

Di samping itu, dapatan keseluruhan mencadangkan bahawa faktor yang mempengaruhi pelaksanaan PBD saling berkait rapat dengan autonomi dan kepimpinan sekolah. Pihak berkepentingan yang berbeza juga mengakui bahawa untuk pelaksanaan PBD yang holistik dan mendalam, penglibatan aktif ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak mereka dan pemahaman tentang faedah PBD adalah penting.

 

Dengan mengambil kira semua pandangan, MCII telah menyenaraikan cadangan yang boleh diambil tindakan oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem pendidikan untuk membuat keputusan termaklum, intervensi yang lebih baik dan kolaborasi berkenaan pelaksanaan PBD di sekolah.

 

Fokus utama adalah dalam menyediakan latihan pembangunan profesional yang berterusan untuk guru di semua peringkat dan menerapkan elemen sokongan kejurulatihan (coaching) serta kesihatan mental ke dalam program-program berkenaan.

 

 

parafrasa

 

 

Perlu diingat juga bahawa untuk keberhasilan murid berkembang sepenuhnya di bawah PBD, kita perlu menambah lagi usaha pemupukan kerjasama strategik bersama ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, seperti yang telah dinyatakan dalam Anjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025.

 

Adalah penting untuk menangani isu kapasiti dan keupayaan guru bagi merapatkan jurang dalam pelaksanaan PBD dan memaksimumkan hasil.

 

Dengan pengumuman Bajet 2023 ini, kami optimistik terhadap perancangan KPM yang komprehensif untuk masa depan pendidikan yang cemerlang. Semoga semua pihak dapat berkolaborasi dengan lebih strategik untuk sebuah Malaysia MADANI.
 

Sila klik di sini untuk ‘Laporan MCII: Hasil Dapatan Tinjauan dan Sesi Meja Bulat Pendidikan Pentaksiran Bilik Darjah
(PBD)’. - DagangNews.com

 

Alia Wahidin adalah Pengarah Projek Malaysian Collective Impact Initiative (MCII)