KUALA LUMPUR 10 Feb - Persidangan FIBERTalk Malaysia 2023 anjuran FTTH Council Asia-Pasific (FTTH) memberi tumpuan kepada keterhubungan untuk pembangunan bandar pintar bagi memastikan kehidupan lestari.
FTTH memberi fokus kepada pembangunan terkini industri telekomunikasi (telco) serta membincangkan cabaran dan peluang peluang gentian ke rumah yang menyediakan keterhubungan teknologi 5G dan internet of things (IoT) untuk bandar pintar.
Menghimpunkan 150 pemain industri, persidangan itu menjadi platform perbincangan pelan induk penyambungan pintar untuk bandar pintar berdaya tahan serta amalan terbaik untuk pembangunan FTTH dan gentian (fiber) untuk masa hadapan yang lestari.
Presiden FTTH, Venkatesan Babu berkata, penerokaan peranan gentian (fiber) dalam hala tuju kepada rangkaian 5G perlu mengambil kira cabaran dan permintaan yang diperlukan untuk penggunaannya dalam pembangunan bandar pintar.
Katanya, telco terus berkembang dengan memanfaatkan teknologi baharu yang membolehkan penyelesaian yang lebih maju untuk memenuhi keperluan dunia sambil mengekalkan kemudahan pelanggan di barisan hadapan melalui usaha mereka.
“Persidangan ini adalah jalan yang sesuai untuk perkongsian pengetahuan dan rangkaian bagi membuka jalan kepada kerjasama untuk memacu pembangunan 5G dan IoT untuk kehidupan lestari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, perkembangan maju kedua-dua teknologi itu merupakan sebahagian daripada pembangunan utama bandar pintar yang memerlukan lebih banyak komunikasi silang di belakang tabir, serta lebih banyak sensor berkomunikasi antara satu sama lain.
"Ini memerlukan komunikasi masa nyata melalui rangkaian rendah internet yang tidak boleh dilakukan tanpa gentian,” katanya.
Pada majlis yang sama, FTTH memperkenalkan jenama dan logo baharunya iaitu Fiber Network Council APAC.
Ketua Operasi FTTH, Rusafie Alam berkata, penjenamaan semula akan memberi tumpuan kepada pendekatan yang lebih futuristik dan inklusif ke arah industri telekomunikasi Asia Pasifik, menghimpunkan pihak berkepentingan industri, wakil kerajaan dan pengendali telekomunikasi yang bertindak sebagai pengkalan sumber utama untuk akses gentian optik di rantau ini.
Selain itu, Fiber Network Council APAC dan Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malaysia (MSCA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memacu kerjasama secara kolektif dalam pembangunan bandar pintar.
Ini melibatkan pertukaran pengetahuan, kepakaran, teknologi dan pengetahuan untuk menyediakan penyelesaian telekomunikasi jangka panjang yang mampan untuk membangunkan bandar pintar.
MoU itu juga memerlukan kerjasama dalam pembinaan kapasiti untuk penilaian prestasi projek bandar mampan dan pintar serta meneroka potensi jangkauan pasaran yang besar dalam segmen pendidikan dan latihan berasaskan teknologi IR 4.0. – DagangNews.com