KUALA LUMPUR 9 Nov - Petronas Dagangan Bhd. (PDB) memperkukuhkan kerjasama dengan pemain industri bagi menyediakan infrastruktur mobiliti elektrik di rangkaian stesen minyaknya.
Ini menyaksikan kumpulan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Gentari Green Mobility Sdn. Bhd., EP Blueshark Sdn. Bhd., Blueshark Holding Limited dan Handal Indah Sdn. Bhd.
Kerjasama itu akan mengukuhkan lagi peranan penting PDB dalam keseluruhan rantaian nilai mobiliti elektrik dengan melancarkan stesen penukaran bateri untuk kenderaan dua roda elektrik; dan infrastruktur pengecasan untuk bas elektrik, kedua-duanya di stesen Petronas
Melalui pelaburan ini, PDB berhasrat untuk menyokong usaha penyahkarbonan pelanggannya dan memenuhi keperluan mobiliti elektrik mereka di samping memanfaatkan keupayaan dan rangkaian stesen secara luas.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, kumpulan akan terus mempergiatkan usaha menyokong mobiliti elektrik kerana ia akan membolehkannya merealisasikan potensi pertumbuhan pasaran kenderaan elektrik (EV).
"Ini diperkukuhkan lagi melalui kerjasama antara PDB dan Gentari, bersama EP Blueshark, Blueshark Holding Limited dan Handal Indah untuk mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk pengguna EV," katanya dalam kenyataan hari ini.
MoU pertama adalah mengenai kerjasama dalam perniagaan penukaran bateri dua roda elektrik telah ditandatangani oleh Azrul Osman Rani bersama Pengerusi Eksekutif EP Blueshark, Hamidon Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Blueshark Holding Limited, Jeff Chong Chen Wai .
Ia akan menyaksikan semua pihak bekerjasama dalam pembangunan perniagaan, bermula dengan pemasangan Stesen Tukar Bateri di sembilan stesen Petronas dalam pelaksanaan perintis dua peringkat.
Pihak berkenaan kemudiannya akan meneroka kerjasama selanjutnya di sepanjang rantaian nilai kenderaan dua roda elektrik.
Bagi MoU kedua pula, ia membabitkan kerjasama dalam infrastruktur pengecasan bas elektrik komersial ditandatangani antara Azrul Osman Rani bersama Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razalli dan Pengarah Eksekutif Handal Indah, Lim Chern Chuen.
Melalui MoU ini, tiga stesen Petronas di Johor akan dipasang dengan pengecas DC pantas EV untuk memberi peluang pengecasan untuk bas elektrik Handal Indah yang beroperasi di laluan itu dan juga kepada orang ramai.
Projek perintis ini akan menyediakan PDB dengan pengalaman yang lebih mendalam, sebelum merangka penyelesaian terperinci kepada perniagaan yang berdaya maju untuk PDB. - DagangNews.com