PPB Group jangka peningkatan sehingga 38% kos utiliti kesan kenaikan tarif elektrik | DagangNews Skip to main content

PPB Group jangka peningkatan sehingga 38% kos utiliti kesan kenaikan tarif elektrik

KUALA LUMPUR 3 Mac - PPB Group Berhad menjangkakan peningkatan antara 30% dan 38% bagi kos utilitinya, selepas kerajaan menghapuskan subsidi elektrik dan menaikkan tarif kuasa untuk pengguna voltan sederhana dan tinggi kepada surcaj 20 sen setiap kWj mulai 1 Januari 2023.

 

Pengarah Urusan PPB Group, Lim Soon Huat berkata, kumpulan itu sedang meningkatkan kecekapan operasinya kerana kadar elektrik baharu akan memberi kesan "ketara".

 

“Ia bukan jumlah yang kecil. Melihat kepada penggunaan kami, ia boleh memberi kesan kepada kami dengan ketara. Melihat kepada jumlahnya, ia adalah antara RM20 juta dan RM25 juta (kenaikan kos) untuk keseluruhan kumpulan," katanya semasa taklimat penganalisis dan media mengenai keputusan PPB bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 di sini.

 

Beliau berkata, pihaknya faham bahawa peningkatan kos elektrik itu adalah disebabkan penghapusan subsidi dan percaya bahawa perkar aitu perlu diatasi.

 

“Saya tidak fikir kos elektrik murah akan berterusan jika kos bahan api dan kos elektrik terus meningkat. Untuk mengekalkan, kita perlu belajar untuk menangani kos utiliti yang tinggi pada masa hadapan," katanya.

 

Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, PPB merekodkan untung bersih yang tinggi sebanyak RM2.2 bilion, meningkat berbanding RM1.5 bilion pada 2021.

 

Pendapatan bagi tahun kewangan 2022 meningkat kepada RM6.15 bilion berbanding RM4.65 bilion sebelumnya, dengan semua segmen utama merekodkan peningkatan dalam hasil dan keuntungan.

 

Keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan 2022 meningkat 50% kepada RM2.25 bilion daripada RM1.50 bilion pada tahun kewangan 2021 dengan sumbangan daripada Wilmar International Limited (Wilmar) meningkat 40% kepada RM2.1 bilion.

 

Sementara itu, kumpulan tersebut melalui anak syarikatnya, FFM Berhad (FFM) tidak bercadang untuk menaikkan harga produk keluarannya dalam tempoh masa terdekat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif FFM, Jeremy Goon berkata, secara dasarnya terdapat kenaikan harga untuk produk tertentu tahun lalu yang berkaitan dengan produk pengguna.

 

Beliau berkata, walaupun berlaku peningkatan di peringkat kos, tetapi kumpulan hanya membuat satu kenaikan harga pada Januari 2022. - DagangNews.com