Ranhill SAJ rangkul anugerah IKM Laboratory Excellence Award 2022 dan HACCP bagi 44 LRA di Johor | DagangNews Skip to main content

Ranhill SAJ rangkul anugerah IKM Laboratory Excellence Award 2022 dan HACCP bagi 44 LRA di Johor

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Dis - Ranhill SAJ berjaya merangkul anugerah IKM Laboratory Excellence Award 2022 daripada Institut Kimia Malaysia dan menerima pengiktirafan utama dalam industri perbekalan air bersih terawat di Malaysia dengan memiliki pensijilan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) untuk 44 Loji Rawatan Air (LRA) di Johor dari Institut Piawaian dan penyelidikkan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

 

Pengiktirafan itu menjadikan Ranhill SAJ sebagai operator air pertama di Malaysia yang memiliki persijilan HACCP untuk hampir semua LRA di Johor.  

 

Kejayaan Ranhill SAJ diteruskan lagi dengan penganugerahan IKM Excellence Award 2022 bagi kategori ‘Chemical & Microbiology’ pada 2 Disember 2022 yang berlangsung di One World Hotel, Kuala Lumpur. 

 

Anugerah ini menterjemahkan iltizam Ranhill SAJ dalam mengendalikan makmal melalui sistem kualiti yang mematuhi standard MS ISO/IEC 17025 serta piawaian keselamatan dan kesihatan makmal. 

 

Pensijilan HACCP melalui proses penilaian yang kompleks berpandukan kepada pematuhan Good Manufacturing Practices (GMP), piawaian MS 1480, Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan dan Akta Makanan 1983 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

 

Menerusi pensijilan HACCP ini, proses rawatan air oleh Ranhill SAJ sudah menerima pengiktirafan dalam usaha untuk mengawal dan meminimakan risiko pencemaran kepada air terawat yang berkemungkinan berlaku di mana-mana titik proses merawat air bersih. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Muhamad Faizal Aliar berkata, 2022 merupakan tahun yang baik bagi pihak Ranhill SAJ rentetan kejayaan syarikat merangkul anugerah serta pengiktirafan berprestij itu. 

 

Selain itu, beliau berkata, ia menambah keyakinan kepada semua pengguna air di negeri Johor bahawa air yang dibekalkan adalah benar-benar selamat untuk digunakan dan berkualiti tinggi. 

 

"Pensijilan HACCP dan IKM Excellence Award membuktikan kami sentiasa fokus kepada aspek kesihatan dan keselamatan melalui analisa dan kawalan bahaya yang wujud dalam setiap proses rawatan air bersih sebelum ianya yang dibekalkan kepada pengguna," katanya. - DagangNews.com