KUALA LUMPUR 2 Mac - Sime Darby Allied Operations Pty Ltd, anak syarikat Sime Darby Berhad bercadang mengambil alih Onsite Rental Group Limited, pembekal perkhidmatan penyewaan peralatan perniagaan kepada perniagaan (B2B) terkemuka di Australia pada pertimbangan tunai AUD635 juta (RM1.92 bilion).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata kumpulan itu secara strategik meletakkan kedudukannya untuk menarik permintaan merentasi sektor sumber, infrastruktur dan sektor tenaga.
“Pengambilalihan Onsite melengkapkan portfolio sedia ada kami dan memberi perluasan geografi agar bahagian perindustrian kumpulan berada di dalam kawasan pertumbuhan tinggi pasaran Australia,” katanya.
Onsite mempunyai lebih daripada 500 pekerja di 39 cawangan seluruh Australia yang menyediakan perkhidmatan penyewaan peralatan dan penyelesaian ‘Digital Rental Management’ terkemuka industri.
Syarikat itu juga mempunyai kumpulan yang besar dan pelbagai iaitu lebih 60,000 aset yang menyediakan kepelbagaian penawaran penyewaan peralatan industri kepada Sime Darby merentasi pelbagai industri di Australia.
“Kami amat berbesar hati kerana telah mengekalkan pasukan pengurusan Onsite yang kukuh dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka untuk membina kepimpinan dalam pasaran penyewaan peralatan perlombongan dan pembinaan,” tambahnya yang teruja dengan cadangan pengambilalihan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Onsite, Mike Foureur teruja dengan cadangan pengambilalihan tersebut untuk membawa kejayaan besar syarikat itu dalam pasaran Australia.
“Dengan sokongan ini, Onsite boleh melabur, mencapai kecekapan rantaian bekalan, berkembang ke pasaran baharu dan meningkatkan tawaran kami untuk mempercepatkan pertumbuhan dan kemenangan kontrak,” tambahnya.
Cadangan pengambilalihan itu itu melibatkan pertimbangan tunai RM1.92 bilion secara bebas tunai dan tanpa hutang serta tertakluk kepada pelarasan untuk modal kerja, perbelanjaan modal serta penilaian dan rekod jumlah bekalan yang dipegang oleh perniagaan. -DagangNews.com