Terima kasih 2022, Ayuh Buka Lembaran Baru Negara 2023
2022 bakal melabuhkan tirai Sabtu ini. Melihat kembali pada tahun 2022, pelbagai kejadian dan peristiwa telah tercatit dalam lipatan sejarah Malaysia.
Ada beberapa kejadian dan peristiwa penting yang perlu diberikan perhatian memandangkan ia bakal mengubah landskap pembangunan negara pada masa hadapan.
Walaupun ramai tidak menyangka ia bakal berlaku sebelum ini. Kini sah ia sudah berlaku dan terpahat dalam lipatan sejarah negara.
Semua perlu bergerak ke hadapan setelah menempuhi cabaran dan dugaan akibat ketidakstabilan politik, ketidaktentuan ekonomi, kenaikan kos sara hidup, pandemik penyakit koronavirus 2019 (COVID-19) dan pelbagai isu yang membelenggu rakyat Malaysia.
Pelik dan Menakjubkan, Landskap Baharu Negara Pasca PRU15
Sejarah baharu tercatat dalam lipatan sejarah 2022. Landskap politik negara dilihat berubah selepas pembentukan kerajaan persekutuan melalui gabungan parti politik Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan Sabah (WARISAN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Bebas.
Ramai yang terkejut dengan kerjasama yang dijalinkan oleh PH dan seterunya BN. Walaupun pelik tetapi memang menakjubkan!
Ramai tidak menyangka ia berlaku kerana umum mengetahui bahawa PH sudah sekian lama cuba menggulingkan BN sebelum ini.
Tetapi dengan kerjasama yang telah terjalin ini, diharap ia dapat membuka satu lembaran baharu yang positif serta mengubah landskap politik buat negara demi kestabilan dan kemakmuran.
Kejasama ini juga perlu dilihat dari perspektif yang berbeza kerana ketidakstabilan politik akibat perbalahan dan perebutan kuasa yang tidak berhenti sejak 2018, telah menyaksikan negara mempunyai tiga Perdana Menteri yang datang dari gabungan parti politik berlainan, kurang dari satu penggal pasca PRU14. Semoga ia tidak berulang pasca PRU15 ini!
Komitmen dan Sokongan Melalui Perjanjian Persefahaman Kerjasama
Melalui perjanjian persefahaman kerjasama yang telah dimeterai oleh gabungan parti politik baru-baru ini, diharap ia mampu membawa kepada kestabilan politik negara.
Ini kerana jika perjanjian persefahaman kerjasama ini menjadi kunci kepada kestabilan politik, manfaatnya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat amatlah besar!
Semoga melalui perjanjian persefahaman kerjasama ini, tiada lagi tipu muslihat politik dan tikaman belakang berlaku!
Beri peluang kepada gabungan parti politik yang membentuk kerajaan pada hari ini membuktikan sememangnya mereka layak untuk menerajui negara selama sepenggal.
Buat seluruh rakyat Malaysia, ketepikan perbezaan politik, berikan kerajaan baharu ruang dengan memberikan kritikan yang membina.
Jangan biarkan perpecahan berlaku akibat berlainan anutan politik. Kestabilan dan kemakmuran tidak bergantung kepada kerajaan!
Tetapi sebenarnya ia datang dari kita semua sebagai rakyat Malaysia yang matang dengan memahami lima prinsip seperti yang digariskan dalam Rukun Negara.
Mungkin ramai yang telah terlupa tentang kewujudan Rukun Negara. Sebagai anak dan rakyat Malaysia, ambil masa, hayati semula sejarah dan objektif Rukun Negara supaya kita sentiasa ingat tentang keperluan sifat toleransi antara kaum, kepentingan perpaduan serta mendaulatkan undang-undang dalam usaha mewujudkan sebuah negara yang lebih stabil.
Lima Prinsip Rukun Negara, Tunjang Kekuatan Negara
Dalam usaha mewujudkan sebuah negara yang stabil melalui perpaduan antara kaum yang berbilang bangsa, satu ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara telah digubal sebagai falsafah negara oleh Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Siew Sin dan mendiang Tun Veerasamy Thirunyana Sambanthan.
Objektif Rukun Negara ini adalah untuk mencapai perpaduan di kalangan seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama serta bangsa, dalam usaha untuk membentuk satu masyarakat yang adil, supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
Ini sama seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena sambutan 50 tahun Rukun Negara.
“Lima prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan serta kepelbagaian tersebut, seterusnya hidup secara rukun dan damai”.
Tambah Baginda dalam titahnya:
“Sesungguhnya keharmonian dan kerukunan hidup dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum merupakan tunjang kepada kekuatan negara”.
Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, hormatilah perbezaan agama, budaya dan nilai masing-masing.
Ini kerana secara tidak langsung, ia akan mewujudnya keharmonian di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa.
Secara langsungnya pula, ia akan meningkatkan keamanan dan bakal memberi kesan besar terhadap kita semua sebagai rakyat Malaysia dalam menempuhi tahun 2023 yang diramalkan penuh liku dan onak duri!
Dewan Rakyat Bawa Suara Rakyat, Bukan Terpekik Terlolong!
Persidangan Dewan Rakyat pertama telah membuka tirai pada 19 Disember yang lalu. Ia menyaksikan pelantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu iaitu bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul terpilih untuk menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas memperoleh undi sokongan tertinggi dari Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Di sebalik pelantikan baharu ini, rakyat mengharapkan Speaker baharu yang terpilih untuk menegakkan integriti jawatannya dengan bersikap tidak berat sebelah serta mengetepikan kepentingan parti.
Speaker baharu juga perlu menghentikan segala perbahasan yang dilihat membuang masa dan tidak sihat yang boleh membawa kepada perbalahan dan pergolakan sosial dikalangan rakyat.
Dewan Rakyat perlu dikembalikan martabatnya dengan membawa usul dan membahaskan kepentingan awam.
Bukan sahaja usul berkenaan kepentingan awam, tetapi tumpuan perlu diberikan terhadap beberapa perkara demi kestabilan politik dan ekonomi – bagaimana cara untuk memulihkan ekonomi negara, mengurangkan korupsi, kleptokrasi dan budaya rasuah serta isu yang mengancam keharmonian dan kestabilan negara.
Buat ahli politik yang terpilih. INGAT! Dewan Rakyat adalah tempat di mana anda perlu membawa suara rakyat, membincangkan masalah yang membelenggu rakyat, mencari solusi melalui perbahasan, memberi kritikan yang membina, menyokong dan membangkang dengan fakta.
Bukan membangkang dengan fitnah, cacian dan sebagainya! Buanglah perangai terpekik terlolong seperti beruk, kera dan sewaktu dengannya. Parlimen bukan sarkis mahupun zoo!
Sesungguhnya rakyat MUAK dan MUAL dengan perilaku seperti itu!
2023 Membuka Lembaran Baharu, Cabaran Penuh Liku Menanti
Dengan ketidaktentuan ekonomi serta pasaran kewangan menghadapi pergolakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. 2023 dilihat tahun yang mencabar bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi untuk seluruh penduduk dunia.
Rata-rata penganalisis meramalkan dunia bakal berhadapan satu lagi siri kemelesetan ekonomi.
Bank Dunia telah mengeluarkan amaran tentang kemelesetan ekonomi ini berdasarkan kajian yang telah dijalankan – dunia mungkin sedang menuju ke arah kemelesetan global pada tahun 2023 akibat langkah pengetatan dasar monetari yang diambil oleh hampir keseluruhan bank-bank pusat di seluruh dunia yang menaikkan kadar faedah dalam masa yang sama dalam usaha memerangi inflasi.
Begitu juga dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang turut meramalkan satu pertiga daripada ekonomi dunia akan mengalami kemelesetan pada 2023.
Ini disebabkan oleh tekanan ekonomi yang serius akibat kejutan bekalan (permintaan yang tinggi tetapi kekurangan bekalan), inflasi yang menyebabkan harga melonjak naik dan ada negara yang belum pulih dan berada dalam keadaan ekonomi yang goyah akibat pandemik COVID-19.
Oleh itu, kepimpinan Perdana Menteri ke-10 amatlah diperlukan dalam menghadapi badai ketidaktentuan ekonomi tahun hadapan. Buktikan yang anda mampu mengubah landskap politik dan ekonomi negara!
Rakyat memerlukan Perdana Menteri yang berwibawa walaupun cabaran memimpin dalam ketidaktentuan ekonomi amatlah mencabar.
Anda adalah pencipta visi negara yang baharu dan hanya anda yang dapat melihat gambaran masa depan yang dicapai melalui agenda pembaharuan negara melalui politik dan ekonomi yang dirancang.
Teruskan bergerak ke hadapan! Demi Malaysia yang lebih baik! – DagangNews.com
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat