KUALA LUMPUR 9 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang kedua pada tahun ini.
Menurut bank pusat itu, ekonomi global terus terjejas oleh tekanan kos yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi tetapi inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Bagaimanapun, inflasi teras terus kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.
"Bagi menguruskan tekanan inflasi, beberapa bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah. Tindakan ini akan menyebabkan prospek pertumbuhan global terus menghadapi rintangan.
"Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bank pusat itu berkata, ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 8.7% pada tahun 2022, didorong oleh perbelanjaan sektor swasta dan awam yang pulih susulan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya.
Katanya, selepas menunjukkan prestasi yang kukuh pada tahun 2022, ekonomi dijangka menjadi sederhana pada tahun 2023 berikutan ekonomi global yang lebih perlahan.
Katanya, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik selain ketibaan pelancong dijangka terus bertambah lantas menggiatkan lagi aktiviti berkaitan pelancongan.
"Risiko prospek pertumbuhan ekonomi domestik menjadi perlahan terus berpunca terutamanya daripada perkembangan global termasuk pertumbuhan sebenar yang lebih lemah daripada jangkaan atau keadaan kewangan global yang lebih ketat dan tidak menentu," katanya.
Bank pusat itu berkata, keputusan OPR pada hari ini membolehkan MPC menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa (lag effect) dasar monetari terhadap ekonomi.
Katanya, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
"Langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
"MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan," jelasnya. - DagangNews.com