Syarat SPA tidak dipenuhi, jual beli tanah bernilai RM384 juta oleh UEM Sunrise batal | DagangNews Skip to main content

Syarat SPA tidak dipenuhi, jual beli tanah bernilai RM384 juta oleh UEM Sunrise batal

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Feb - Cadangan UEM Sunrise Bhd. untuk membeli tanah pegangan bebas yang terletak berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tidak berjaya dimuktamadkan selepas syarat-syarat terdahulu di bawah perjanjian jual beli (SPA) tidak dipenuhi dalam tempoh bersyarat, yang tamat semalam. 

 

Menurut syarikat pemaju hartanah itu, vendor, Nipponkey Sdn Bhd akan membayar balik deposit kepada anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Lucky Bright Star Sdn Bhd, termasuk sebarang faedah terakru, dalam tempoh 14 hari, memandangkan SPA itu telah luput.

 

Pada masa sama katanya, Lucky Bright Star juga akan memulangkan dokumen berkaitan kepada Nipponkey.

 

"Selepas itu, Lot 228 SPA akan ditamatkan dan tidak akan berkuat kuasa lagi dan kedua-dua pihak tidak akan mempunyai apa-apa tuntutan terhadap pihak yang lain kecuali berkenaan dengan sebarang pelanggaran terdahulu,” katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Tanah seluas 6.39 ekar itu terletak di Lot 228, Jalan Sultan Yahya Petra (dahulunya dikenali sebagai Jalan Semarak), iaitu kira-kira 2.5 kilometer timur laut KLCC.

 

Pada 4 Ogos lalu, UEM Sunrise mengumumkan cadangan pembelian tanah itu membabitkan pertimbangan berjumlah RM384 juta yang dilaksanakan secara tunai sebanyak RM235.8 juta dan pembayaran 'in-kind' sebanyak RM148.25 juta.

 

Penyelesaian melalui pertimbangan 'in-kind' itu melibatkan Nipponkey memeterai 16 perjanjian pelupusan dan pemindahan tanah (DLTA) dengan anak syarikat tidak langsung milik penuh UEM Sunrise, Nusajaya Rise Sdn Bhd (NRSB) dan Symphony Hills Sdn Bhd (SHSB), pemilik berdaftar seluas 107.82 ekar tanah yang terletak di Tanjung Kupang, Johor, serentak dengan pelaksanaan Lot 228 SPA.

 

Di antara 16 DLTA, dua antara SHSB dan Nipponkey adalah untuk pelupusan dan pemindahan dua bidang tanah bumiputera yang ditakrifkan sebagai 'Tanah Bumi SHSB'.

 

Malah, menurut UEM Sunrise lagi, DLTA berkenaan juga telah luput pada Rabu.

 

"Sebaik saja DLTA bagi NRSB dan SHSB luput, pihak yang memindahkan (Nipponkey) perlu mengembalikan dokumen berkaitan kepada NRSB dan SHSB," katanya. 

 

Tanah-tanah tersebut adalah sebahagian daripada Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri. DLTA NRSB, DLTA SHSB dan DLTA SHSB Bumi secara kolektif dirujuk sebagai 'DLTA Tanah Gerbang Nusajaya'.

 

Dalam DLTA Gerbang Nusajaya Lands, Nipponkey dinyatakan sebagai penerima pindahan. Nipponkey ialah sebuah syarikat swasta berhad. Menurut pemfailan bursa pada 4 Ogos lalu, modal sahamnya ialah RM181.32 juta dibahagikan kepada 100,000 saham biasa dan 181 juta saham keutamaan boleh tebus. Aktiviti utamanya ialah pegangan harta.

 

Susulan itu, saham dan waran berstruktur UEM itu kemudiannya dihentikan mulai pukul 9 hingga 10 pagi pada sesi dagangan Rabu.

 

Setakat 3.25 petang ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 26.5 sen dengan 5.46 juta saham diniagakan. - DagangNews.com