Usaha memulihkan Serba Dinamik bukan tugas mudah - Abdul Karim | DagangNews Skip to main content

Usaha memulihkan Serba Dinamik bukan tugas mudah - Abdul Karim

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Jan - Serba Dinamik Holdings Bhd. sedang merangka pelan penyusunan semula keadaan kewangannya dalam masa kira-kira sebulan untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk kelulusan.

 

Terbaharu, dagangan sahami SERBADK akan digantung berkuat kuasa dari 9 pagi, Rabu, 18 Januari 2023 sehingga notis selanjutnya, menurut perenggan 16.02(1)(j) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah dalam Laporan Tahunan/Bersepadu 2021/2022 yang dikeluarkan di Bursa Malaysia hari ini juga yakin syarikat akan kembali dalam landasan dan dibina semula ke tahap yang lebih tinggi.

 

Menurutnya, usaha memulihkan syarikat bukanlah satu tugas yang mudah dan pasukan pengurusan kanan telah melaburkan banyak masa dan usaha sepanjang 2022 untuk memastikan ia akan tercapai.

 

"Kami menjangkakan untuk menyelesaikan isu berkanun melalui program tiga tahun, diikuti dengan pencapaian.

 

"Proses itu mungkin kelihatan mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan tetapi kami yakin bahawa kami akan melihat masa yang lebih baik di hadapan," katanya dalam laporan itu.

 

 

Abdul Karim Abdullah
                                          Abdul Karim Abdullah

 

 

Baca : Perintah penggulungan, Serba Dinamik kemuka rayuan

 

 

Serba Dinamik dan tiga anak syarikatnya ketika ini berdepan dengan perintah penggulungan oleh Mahkamah Tinggi. 

 

Pada Selasa, Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Murad Abdul Aziz membenarkan satu petisyen yang difailkan enam institusi kewangan untuk menggulung Serba Dinamik dan subsidiarinya iaitu Serba Dinamik International Ltd (SDIL), Serba Dinamik Group Bhd. (SDGB) dan Serba Dinamik Sdn. Bhd. (SDSB).

 

Enam institusi kewangan selaku pempetisyen saman itu adalah Standard Chartered Saadiq Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd, AmBank Islamic Bhd, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd dan Bank Islam Malaysia Bhd.

 

Susulan itu, semalam, Lembaga Pengarah Serba Dinamik memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi itu yang memerintahkan penggulungan syarikat itu dan tiga anak syarikatnya.

 

Pada 7 Januari 2022, Serba Dinamik mencetuskan kriteria menurut Perenggan 2.1(d) Nota Amalan No 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22), kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM1.35 bilion dengan kerugian kasar RM1.09 bilion.

 

Ini disebabkan terutamanya hasil daripada skim penyelesaian hutang dan kehadiran inisiatif Pelikuidasi Interim yang dijalankan untuk menguruskan operasi perniagaan yang merangkumi penstrukturan semula kecekapan operasi, pengoptimuman kos berterusan, meminimumkan nilai kontrak sedia ada dan mengukuhkan undang-undang dan kedudukan kontrak dengan pelanggan dan  subkontraktor.

 

Abdul Karim berkata, syarikat akan terus meningkatkan kecekapannya dan mengusahakan kerjasama dengan rakan kongsi berpotensi untuk mendapatkan lebih banyak kontrak.

 

"Walaupun operasi dan pengurusan adalah kekuatan utama kami, tetapi kami juga berminat untuk berkembang dalam sektor komunikasi dan teknologi maklumat, yang mempunyai potensi besar apabila Revolusi Perindustrian Keempat menandakan perubahan dalam semua industri.

 

"Kami akan meneruskan usaha untuk mendapatkan perniagaan yang lebih besar dalam bidang ini bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya. - DagangNews.com