Dagangan TH Heavy Engineering akan digantung 9 Dis, berisiko dinyahsenarai | DagangNews Skip to main content

Dagangan TH Heavy Engineering akan digantung 9 Dis, berisiko dinyahsenarai


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Dagangan TH Heavy Engineering Bhd. akan digantung mulai 9 Disember 2021 setelah permohonan lanjutan masa untuk mengemukakan pelan penyusunan semulanya ditolak Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities).

 

Selaras dengan perenggan 8.04(5) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama itu juga, sekuriti syarikat akan dinyahsenarai pada 13 Disember 2021 melainkan rayuan pembatalan dikemukakan kepada Bursa Securities pada atau sebelum 8 Disember 2021. 

 

"Sebarang permohonan yang dikemukakan selepas tempoh rayuan ini tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa Securities," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Jelasnya, sekiranya syarikat mengemukakan rayuan dalam tempoh jangka masa diberikan, nyahsenarai sekuriti daripada Senarai Rasmi Bursa Securities pada 13 Disember akan ditangguhkan sementara menanti keputusan rayuan. 

 

"Bagaimanapun, Bursa Securities akan terus menggantung dagangan sekuriti syarikat pada 9 Disember ini walaupun keputusan rayuan syarikat masih belum selesai," tambahnya.

 

Berkenaan dengan sekuriti syarikat yang kini didepositkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn. Bhd. (Bursa Depository), sekuriti mungkin kekal disimpan dengan Bursa Depository walaupun sekuriti dinyahsenarai daripada Senarai Rasmi Bursa Securities.

 

"Ia tidak wajib bagi sekuriti syarikat yang telah dinyahsenarai untuk dikeluarkan daripada Bursa Depository," jelasnya lagi.

 

Menurut Bursa Securities, selepas nyahsenarai, syarikat masih kekal wujud tetapi sebagai entiti tidak tersenarai. 

 

Malah, katanya, syarikat masih mampu meneruskan operasi dan perniagaan serta melaksanakan langkah penstrukturan semula manakala pemegang saham masih boleh diberi ganjaran oleh prestasi syarikat. 

 

"Bagaimanapun, pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disebut harga dan didagangkan di Bursa Securities," katanya.

 

TH Heavy Engineering tergelincir dalam kategori syarikat bermasalah kewangan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) pada April 2017 dan diberi lanjutan masa sehingga 22 Oktober 2021 untuk mengemukakan pelan penyusunan semula.

 

Pada Oktober lalu, pengarah eksekutifnya, Mohamed Niza Abu Bakar meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta setelah 14 bulan dilantik memegang jawatan berkenaan. 

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 yang diumumkan semalam, syarikat merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.3 juta manakala pendapatan bagi tempoh itu juga susut kepada RM1.54 juta. 

 

Ketika ditutup petang ini, harga sahamnya menokok 0.05 sen atau 8.33% kepada 6.5 sen dengan 1.33 juta saham diniagakan. - DagangNews.com