10 Soalan Sejarah dari LEYLA’S QUEST: Echoes of Uthmaniyah
LEYLA’S QUEST merupakan novel terbaru saya diterbitkan oleh Hikayat Fandom, mengambil masa 4 tahun untuk disiapkan.
Ia memberi perspektif baharu kepada sejarah dunia yang diketahui umum dari zaman Uthmaniyah hingga ke hari ini. Kebanyakan fakta ini pernah diteroka dan dibincangkan sebelum ini di dunia ilmiah dan akademik sejarah dan sastera.
Mengambil ilham dari kisah Sultan Mehmed Al-Fateh menakluk Istanbul, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, Leyla’s Quest tertumpu pada seorang srikandi e-gamer hari ini yang menjalani satu e-game kembara siber menyusuri dunia lampau yang membawanya ke Istanbul, Rom, Melaka, Aceh dan lain-lain destinasi bersejarah.
Sejarah mengajar kita dan kajian kendiri boleh membuka mata terhadap naratif dunia luar terutamanya penjajah mengenai apa yang berlaku di pentas antarabangsa. Namun, seringkali kita mudah lupa sejarah lama, apatah lagi sejarahnya.
Di sini dikongsikan 10 fakta yang membentuk naratif penceritaan Leyla’s Quest:
1. Penaklukan Uthmaniyah dan kemenangan Sultan Mehmed Al-Fateh membuka Istanbul menjadi pembuka tirai novel ini. Kehidupan, kegusaran dan kejayaan Al-Fateh menjadi latar belakang awal novel.
2. Dalam Hikayat Hang Tuah (HHT) dikatakan Laksamana Hang Tuah telah ke benua Rom yang diperintah oleh seorang Raja beragama Islam. Hang Tuah telah diperutuskan Duli Yang Dipertuan dengan segala harta dan manikam. Tugasnya untuk membawa pulang meriam terbaik dari benua Rom itu.
Di benua Rom ini, Hang Tuah sempat merakamkan “Syahdan, pada suatu ketika maka baginda berangkat sembahyang Jumaat ke masjid yang bernama Baitur Rahim Ratna Kemala itu. Maka masjid itupun disapulah orang dengan kain berbagai-bagai warnanya dan perbuatannya terlalu indah-indah rupanya.” Inilah perumpamaan Masjid Hagia Sofya di benua Rom.
3. “Maka gendang arak-arakanpun dipalu oranglah terlalu ‘azmah daripada gong dan serunai, nagara, nafiri, bangsi, merangu, ceracap, mendeli, dermama, terlalu gemuruh bunyinya tiada berputusan. Maka segala pawaipun turunlah dan gendang nobatpun berbunyilah, maka bagindapun berangkatlah.” - Hikayat Hang Tuah.
Sultan Mehmed Al-Fateh yang menggelar dirinya Kaiser Rom setelah menakluk Konstantuniah dan membuka Stamboul pada dunia luar mempunyai tentera hebat yang sentiasa diiringi pancaragam yang gegak gempita dengan gendang, drum dan serunai. Hal ini diceritakan dalam HHT dengan begitu jelas dan bertepatan dengan pancaragam Turkiye yang tersohor itu.
4. Sekembalinya Hang Tuah dari benua Rom, “segala peri takhta kebesaranRaka Benua Rom itu semua dipersembahkan oleh Laksamana…”
Segala bedil dan surat bingkis dibawa masuk istana.”
Bedil dari benua Rom ini menggambarkan meriam dari Istanbul terutamanya di zaman Sultan Al-Fateh yang begitu tersohor dibina oleh Orban.
5. Vatican City mencatur politik dunia Barat terutamanya Portugal dan Sepanyol. Apakah peranan Vatican City dalam penjajahan dunia Nusantara abad ke-16 dan seterusnya?
6. Laksamana Keumalahayati, Tun Sri Lanang di Aceh dan Leyla dalam novel ini? Laksamana Keumalahayati dan tentera srikandinya Inong Balee dari Aceh mendapat tempat dalam kembara Leyla. Apakah kaitannya? Apakah garis sejarah kisah ini?
7. Seluruh dunia Islam terutamanya Uthmaniyah memegang wakaf yang amat besar dalam amanah Khalifah dunia Islam.
8. Askar Janisari Sultan Uthmaniyah dikatakan antara sebab utama kemenangan Al-Fateh ke atas Malaraja Konstantin. Di akhir era Uthmaniyah, sekitar 1922, apakah yang terjadi pada askar setia kesultanan Uthmaniyah, askar Janisari? 151 pengikut setia Sultan terakhir diusir dari Turkiye. Siapakah 151 pengikut ini?
9. Apakah impak jatuhnya kerajaan Uthmaniyah dan Khalifah Islam sedunia pada tahun 1924? Apa yang berlaku pada landskap dunia Islam?
10. Bank of England hampir muflis selepas Perang Dunia I. Ia terpaksa meminta rakyat British membeli bond Dana Perang Britain namun kempen besar-besaran ini tidak berjaya sama sekali. Bagaimana Bank of England mendapat dana lumayan untuk membina semula bank pada tahun 1924?
LEYLA’S QUEST memberi perspektif baru terhadap sejarah dunia dari zaman Uthmaniyah hingga ke hari ini. Saya mengharapkan novel ini dapat memperkaya pemahaman terhadap peristiwa-peristiwa bersejarah dan menggalakkan anak muda kita membuat kajian tentang sejarah dunia dan tanah air kita.
Dengan pengetahuan sejarah yang mendalam, kita dapat menggaris beberapa kesimpulan terhadap naratif dunia yang dikarang selama ini oleh penjajah. Teknik kajian bersilang, ‘reading between the lines’ dan membuat analisa terperinci membantu dalam hal ini.
Namun, Leyla’s Quest adalah novel fiksyen - yang berlandaskan sejarah untuk dinikmati dan dihayati. Dizahirkan demi mencetus suatu keinginan mencari Leyla, dan jatidiri nusa dan bangsa.
Diharap ramai anak muda berpeluang membaca dan menghayati novel ini. - DagangNews.com
Soalan Fakta Cepumas:
- Apakah Quran Timurid yang disebut dalam novel Leyla’s Quest?
- Apakah kepentingan di sebalik kepakaran DNA-memory dalam hidup Leyla?
- Apakah nama kapal perang yang membawa Sultan Mehmed VIawww keluar dari Istanbul pada tahun 1922?
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA