ALAM MELAYU PENUH KEAJAIBAN - DRAGONLORE
SEBAGAI penulis, saya akur pada satu-satu masa saya mungkin mempunyai seribu satu cerita, berpuluh sajak dan puisi ingin diabadikan dalam manuskrip terbaru sebelum dijadikan sebuah buku lengkap.
Namun masa mencemburui kita dań pada satu saat dan ketika, saya cuma dapat menulis satu bidang kreatif.
Namun pada tahun ini nampaknya saya menerima bantuan dari rakan rakan penulis dari dalam dan luar negara yang begitu mengujakan.
Salah satu projek penulisan terbaru adalah bersempena Tahun Naga 2024, saya berkesempatan menjemput penulis dari 10 negara lain dan Malaysia untuk bekerjasama.
Kisah-kisah dari Timur dan Barat mencerminkan kemanusiaan dan budaya bersama selama beribu-ribu tahun tentang Naga.
DRAGONLORE
Hasil galakkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia untuk berkolobrasi dalam penulisan dan penerbitan, tercetus inspirasi memulakan projek seawal 2022, dengan visi pengantarabangsaan.
Saya memilih untuk menulis DRAGONLORE yang sememangnya telah saya idam-idamkan sejak tahun Naga sebelum ini pada 2012. Kini, DRAGONLORE telah pun hampir siap dan saya memilih untuk bakal melancarkan DRAGONLORE di pesta buku Antarabangsa terbesar akan datang, Frankfurter Buchmesse 2023 Oktober ini.
Buku ini merupakan antologi 24 penceritaan semula kisah naga di ambang Tahun Naga 2024 dan akan menunjukkan bagaimana kita begitu sinonim dengan emosi, cita-cita dan aspirasi di mana jua kita berada. Ia terpilih sebagai salah satu buku grafik Asia Tenggara yang bakal dinobatkan dan diarkibkan ke bulan bersama 30,000 karya dari lebih 155 buah negara – Projek LUNAR CODEX.
Barisan penulis yang mengagumkan termasuk pemenang Anugerah Emmy dan Pengasas projek Lunar Codex, Samuel Peralta (Kanada), Cora Wang Siyao (China), Sahar Abdallah (Mesir), Anna Kordzaia-Samadashvili (Georgia), Helmut Kunkel (Jerman), Rita Angelelli dan Renato Ghezzi, (Itali), Imam Qalyubi (Indonesia), Arian Tejano (Filipina), Can Yigit Tuncman (Turkiye), The Journey Man (United Kingdom) dan Penulis Malaysia Teoh Choon Ean, Minah Sintian dan Ruby Yusuf. Bersama saya, Johnny Gillett dari United Kingdom turut merupakan Editor DRAGONLORE.
Dan Maria Grazia Beltrami (Itali) serta Li Jieting (China) sebagai penterjemah dari Bahasa Itali dan Mandarin.
Ilustrator Malaysia Walid Muhammad dan Ariyana Ahmad berkarya hebat melakarkan kisah-kisah menarik ini dengan karya visual.
Kisah-kisah Naga ini datang dari pelbagai kawasan termasuk legenda dari kawasan yang jauh seperti Artik hingga China Purba. Timur Tengah ke kawasan tengah Asia serta Asia Tenggara, Afrika dan Eropah hingga ke Australia. Dari kerajaan Melayu tertua di Malaysia dan Indonesia, Filipina, mitologi Yunani dan Inuit, legenda Eropah dan cerita rakyat Cina.
LEYLA & THE LOST TREASURE OF THE HAZINE-I ÂMIRE
Sejak tiga tahun yang lampau semasa pandemik, saya telah mula menulis sebuah novel terbaru bertajuk LEYLA. Ia mengesahkan seorang anak gadis darah kacukan Turkiye yang tinggal di Malaysia. Novel ini membawa kita ke Kerajaan Uthmaniyah, Melaka, Acheh dan ke Vatican City ini begitu memerlukan pelbagai kajian dan ‘cross referencing’, kadang kala saya begitu letih memikirkannya dan terus berhenti menjenguk manuskrip ini berbulan-bulan lamanya.
Namun, pasti saya akan siapkan pada tahun 2024 juga.
Kenapa 2024? Kita tahu, bahawa Empayar Uthmaniyah itu bermula pada tahun 1219, dan kekal hingga 1922. Namun, kejatuhan khalifah-khalifah Islam pula terjadi pada tahun 1924, tanpa sebarang tentangan, satu kejayaan dunia barat. Saya rasa setelah seratus tahun berlalu, ada baiknya kita selami satu zaman yang digelapkan. Dicaturkan dan diubah penceritaannya.
Tidak mengapalah kisah saya berbentuk fiksyen kerana ia membayangkan kegemilangan dan rahsia yang lebih menakjubkan dari kisah novel saya.
HIKAYAT KIDS
Kini hasil kerjasama dengan The Patriots Asia, Hikayat Kids sudah hampir siap. 12 buku kanak-kanak lengkap dengan ilustrasi menarik dari Walid Muhammad, Ariyana Muhammad dan Dani Warguide mendapat sokongan MyCreative Ventures.
Saya harapkan ibu-bapa dan pihak sekolah akan tertarik dengan siri Hikayat Kids dalam Bahasa Melayu dan Inggeris ini.
HF KomiK
HK Komik akan terus menemui peminatnya dengan Vol 2 di SIBF 2023 dan PBAKL 2024 nanti. Nampaknya ia akan berbentuk Komik berwarna bersama motion grafik, jika diizinkan. Kisah BENTALA NAGA ini hasil kerjasama dengan Creative Crystal Enterprise gandingan mantap Moondream dan Elly.
Beginilah perancangan untuk PBAKL 2024. Sebagai sebuah entiti penerbitan kecil-kecilan, Hikayat Fandom hanya memberi fokus kepada buku-buku bertemakan Hikayat dan cerita rakyat.
Lebih ramai di luar sana yang menulis karya kontemporari dan fiksyen Nusantara, lebih terserlahlah industri kita. Diharap penerbitan Hikayat Fandom akan terus menjentik hati peminat dan lain-lain untuk menyelami Alam Melayu.
Yang penuh keindahan. Keajaiban. Kebenaran.
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA