Balai Adat gelanggang Tok Cindai | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 9 October 2023

Balai Adat Gelanggang Tok Cindai

 

 

Duduk di sini bernyanyi-nyanyian
Padang terkukur jadi kayangan

 

 

ADALAH biasa melihat pesilat muda lengkap berbusana hulubalang Melayu di Balai Adat Tok Cindai, Kepong, Selangor.

 

Anak gadis seperti srikandi zaman Langkasuka atau Melaka begitu petah berkata-kata dan beraksi membuka langkah. Pada masa yang sama, anak muda segak dengan baju Melayu dan bertanjak membetulkan sampin sebelum masuk ke Balai.  

 

Apakah yang menjadi tarikan semakin ramai keluarga yang tinggal di bandar-bandar menghantar anak-anak ke Balai Adat demi mencari jati diri dan identiti bangsa. Mereka mempelajari seni silat pada waktu malam selepas Isyak hingga ke larut malam. 

 

 

ninot aziz

 

 

Ada kelihatan perigi yang di bina di mana pelajar-pelajar ini dapat mengambil wuduk bersama-sama sebelum menunaikan solat jemaah. Satu ketenangan. Satu kedamaian. 

 

Azan bergema dan beduk dibunyikan. 

 

Di manakah Balai Adat bersembunyi selama ini?

 

Pada beberapa minggu yang lepas Balai Adat yang bertempat di  Taman Ehsan Kepong, Kuala Lumpur telah mengadakan perhimpunan Semangat Besi perkampungan kebudayaan kesenian nusantara demi menjalinkan semangat persaudaraan dan titik temu pengamal silat Melayu pelbagai aliran. Anak-anak diraikan demgan pertandingan pakaian busana, permainanan tradisional dan bermacam-macam lagi kegiatan santai. 

 

Kehadiran sebegitu ramai anak muda dan juga pesilat lengkap dengan busana serta jualan pelbagai bahan seni dan kraf amat mengujakan. 

 

 

ninot aziz
Balai Adat di  Taman Ehsan Kepong, Kuala Lumpur

 

 

Bagi yang pertama kali ke Balai Adat Gelanggang Tok Cindai seperti saya pasti terkejut.  Sepanjang jalan ke lokasi merupakan kawasan bandar yang sesak dengan kawasan perumahan dan kedai. Jalan besar highway berselirat bagai lipatan ketupat tinggi di atas kawasan perumahan sempit dan rapat, tidak terlihat kehijauan yang kita idamkan. 

 

Namun apabila masuk saja ke kawasan Balai Adat, kita seolah-olah di dunia yang berlainan, kembali ke zaman Melaka mungkin. Oh! tidak, sudah tentunya Melaka lebih gah dan indah tetapi cukup untuk mengubat rindu. 

 

Pepohon cempaka dan segala hijauan menunggu. Rumah kayu menjadi tempat teduhan bersapa dan berkenalan. Pasu tembikar dan peralatan tembaga begitu banyak diperagakan. Inilah kebanggaan dunia silam kita. 

 

Pameran keris dan kain cindai memaksa kita membaca segala catatan lama, catatan di atas kayu menceritakan asal usul segalanya yang sangat berhemah dan bersejarah. 

 

 

ninot aziz

 

parafrasa
Keris dan kain cindai di Balai Adat

 

 

Tok Cindai @ Mohd. Khan Mohd. Salleh merupakan pengasas di sini. Balai Adat telah nampaknya berjaya menyemarakkan semangat cintakan budaya Kerajaan Melayu silam dan tetap setia mempertahankan institusi Raja di kalangan generasi muda.

 

Seorang pendekar muda, Siti Meddani Teja Mohd Azriel, berumur 10 tahun merupakan tujuan utama saya ke Balai Adat kali ini. Meddani mengambil bahagian dalam pertandingan busana. Namanya Siti Meddina Teja membayangkan ada salasilah bersusur galur keturunan Pahang dalam darah dagingnya. Saya sempat bertanya pada Medinna, kenapakah ia terasa seronok belalar silat?

 

Jawab Meddina, tentunya salah satu sebab utama ramai teman relajar silat dan dia seronok berbahasa Melayu di sini. Ini adalah kerana Meddina bersekolah di sekolah antarabangsa. Menurutnya, lebih penting lagi, ia merasa lebih berani mempertahankan diri.

 

Menurut ibunya, Kasih, sebelum menceburkan diri ke dalam arena silat, Meddina kern bermain e-games. Kini ini tidak merupakan aktiviti utamanya.

 

 

ninot aziz
                           Siti Meddani Teja Mohd Azriel

 

 

Namun, yang paling menarik perhatian adalah prinsip Meddina setahun jagung ini, “Belajar silat ini bukan untuk menunjuk-nunjuk. Biar orang melihat tidak tahu kebolehan kita. Ini mesti di simpan sebagai rahsia.”

 

Jelas terpancar kematangan anak gadis ini. 

 

 

Siti Meddani Teja Mohd Azriel

 

Siti Meddani Teja Mohd Azriel

 

 

Program sebegini tentu dapat  memperkasa kesenian budaya Melayu yang semakin disaingi cara berpakaian Korea, Jepun dan Barat pengaruh anime dan sebagainya. Anak muda di sini begitu bersopan santun dan beradab, menunjukkan sikap positif tersemai di gelanggang silat. 

 

Kita mencari seni dan budaya yang semakin hilang,  pemahaman  7 Wasiat Raja-Raja Melayu serta Perlembagaan mengenai kedudukan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu, agama Islam agar tidak ketinggalan dan dipersendakan.

 

Melalui Balai Adat ini, kita dapat lihat kebangkitan orang Melayu bertanggungjawab mempertahankan seni, budaya, kesucian agama Islam dan kekuatan bangsa. 

 

Alhamdulillah.

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb
Portfolio Tags