BEBERAPA HARI LAGI MENUJU KE FRANKFURTER BUCHMESSE 2022
Di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt minggu ini, saya akan berkongsi bagaimana cerita rakyat Kepulauan Melayu adalah penting - menjadi penyambung memelihara korpus memori tidak ketara, seni dan budaya dunia.
Mengapakah ini penting?
Kisah legenda sebenarnya memulihara kearifan dan budaya tempatan. Ini termasuk pemikiran aras tinggi yan dimiliki bangsa Melayu sejak berzaman.
Minggu ini, saya berbual dengan Mohd Hazlami Harun, anak muda yang mengharumkan nama Malaysia di serantau Asia Tenggara melalui kumpulannya Akar Seni Malaysia.
Beliau mencetuskan karya dramatari yang begitu baik dengan persembahan ‘Bunga Emas’ di Pahang dan juga ‘Seri Gumum’ untuk acara pelancaran buku Hikayat Fandom baru baru ini.
Hazlami mengatakan betapa kagumnya beliau dengan kebijaksanaan ‘orang lama’ terdahulu dalam meragam tari, “Bagaimana dahulukala orang Melayu menyusun Makyong dengan begitu baik sehingga boleh digunakan hingga hari ini? Begitu cantik struktur dalam cerita Mak Yong kekal hingga hari ini.”
Struktur kisah makyong begini:
1. Bertabuh
2. Mengadap rebab
3. Raja atau Pak Yong keluar dan berdialog dengan Mak Yong.
4. Pak Yong Muda atau Puteri Mak Yong menyanyi.
5. Dialog Pak Yong memanggil pengasuh.
6. Yanyian Pak Yong Tua- Sendayong Pak Yong.
7. Dialog
8. Nyanyian Peran
9. Dialog antara Pak Yong dengan Peran
10. Pak Yong menyanyi lagu berkhabar.
11. Dialog
12. Nyanyian Peran
13. Dialog
14. Nyanyian Peran
15. Dialog
16. Lagu barat cepat
17. Dialog Peran 1 dan 2
18. Lagu Tok wak
19. Dialog Pak Yong
20. Lagu Ela oleh Pak Yong bermula dengan pengenalan karektor … Contohnya:
Maka Alulah Endeng Tejali …..
Selepas itu barulah bermula ‘pecah cerita’ mengisahkan legenda Makyung seperti Dewa Muda, Indera Dewa Dewa Indera, Anak Raja Gondang, Raja Tangkai Hati dan sebagainya.
Ini menunjukkan struktur yang begitu rapi, kekal selama beratus tahun. Tidak hairanlah Makyung antara kesenian terawal mendapat pengiktirafan dari UNESCO sebagai Intangible Cultural Heritage of Humanity.
Kumpulan cerita Makyong mesti dipelihara sebelum hilang kesemuanya. Kumpulan cerita tersohor hari ini yang saya amati
Cerita Raja Gondang
- Endeng Tejali
- Cerita Anak Raja Gondang
- Cerita Bongsu Sakti
- Cerita Tuan Bijak Laksana.
Cerita Dewa
- Cerita DewaTujuh
- Bisnu Dewa
- Cerita Dewa Indera Indera Dewa
- Cerita Dewa Sakti
- Cerita Dewa Pechil
- Cerita Dewa Samar Daru dan yang paling tersohor
- Cerita Dewa Muda
Kisah kisah Raja
- Cerita Raja Muda Laleng
- Cerita Raja Muda Lembek
- Cerita Raja Tangkai Hati
- Raja Besar Ho Gading
Sebelum ini saya telah kongsikan cerita makyong. Kini, saya paparkan lagu lagu makyong yang berkurun lamanya….
Lagu Nek Kebaye dinyanyilan apabila Nek Kebaye ingin melepaskan Endeng Tejali dari Gua Ceratagayong.
Aku nok lepah sekali
Denge kuom ceding
Lagha badi bala seroka
Sekelie denge Wok Jebat
Ipoh Kelana
Aku nok sapu wat
Berpaling putong Berpade bagha
Kalu panah aku rok sejuk
Taje aku nok mitok tupul
Kalu biso aku nok tawa
Aku nok mitok sejuk
Seperti Ular Cintamani
Haghi ni pasong aku nok mitok
Tok buleh nok bawok ghaso
Miyer ghisa, ketek jerijit
Waktu sien, tok buleh ngigau
Waktu male, tok buleh nok mipi
Aku nok lepah ke pasong
Bersene tubuh lega ke ghaso
Lepah raso lengoh lupoh
Kaku kaad
Sapo punyo pelepah
Nek melepah
So tigo limo tujuh…Lepah…
Lagu Nek Spek Bentala Naga pula menceritakan bagaimana ia berenang merentasi lautan untuk menghantar pulang Endeng Tejali dan Puteri Gak Jitra
Aku nok sembor air membatung
Naik ke darate pata laut
Tepat Anak Ru ye mudo mudo
Lokem paeda bertepuk
Yu paeda bersewang
Di pasir puteh mayang
Dari derdap mudo pulanya
Keujudan lagu lagu dalam Makyung ini menunjukkan betapa berseninya masyarakat Melayu lama. Di antara lagu lain dalam persembahan makyong adalah:
lagu Bertabuh
Lagu Betabik
Lagu Gedombak
Lagu Memanggil Awang
Lagu Selendang Awang
Lagu Tinggi-Tinggi Merendah Duduk
Lagu Siap Simpan Pakaian Badan
Lagu Berjalan Dekat (atau disebut) Lagu Bejalan Masuk
Lagu Berjalan Jauh (atau disebut) Lagu Bilang Berjalan
Lagu Saridam
Lagu Hilang Royak Berita Nak Timbul
Lagu Selendang Mayang
Lagu Ikan Kekek
Lagu Anak Indung (atau disebut juga)
Lagu Raja Beradu
Lagu Selendang Mayang
Lagu Timang Burung
Lagu Timang-Timang Anak dan bermacam lagi.
Ditambah pula persembahan muzik orkestra Melayu yang lengkap, Makyong merupakan persembahan yang menyeluruh dari segi lakonan, seni tari, muzik, lawak jenaka, hiburan, ajaran dan bermacam-macam lagi.
ASPIRASI HIKAYAT
Inilah antara sebab semangat untuk menulis cerita bersandarkan hikayat, lagenda dan cerita rakyat begitu berkobar-kobar.
Keunikan budaya kita diperkuatkan dengan keindahan dan kekuatan kisah kusah lama yang menonjolkan ciri-ciri terbaik yang perlu kita kongsikan bersama anak muda generasi yang akan datang.
Bukan itu saja, melalui cerita cerita ini kita dapat mengenal pemikiran, adat resam dan kelaziman masyarakat lama, yang membentuk kerajaan lama dan jatidiri yang kuat.
InsyaaAllah kita jadikan pedoman dan inspirasi kita untuk membangun sebagai bangsa melangkah ke hadapan.
Supaya dunia dapat menghormati dan mengenal siapa kita sebenarnya.