Belanjawan 2024 manifestasikan sokongan kerajaan dalam usaha perkasa Industri Kreatif, Kebudayaan
BELANJAWAN memang ditunggu-tunggu oleh semua setiap tahun kerana ia memberi gambaran fokus Kerajaan pada tahun berikutnya serta hala tuju Kerajaan.
Selain dari manfaat kepada rakyat, ia mencerminkan pemerkasaan Kerajaan dalam sektor-sektor yang mendapat perhatian serta polisi Kerajaan.
Menurut Perdana Menteri, Belanjawan 2024 memperlihat usaha Kerajaan memberikan cetusan nurani bagi mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat.
Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan berkata, “Tekad perubahan harus bermula dengan iltizam setiap warga, terpancar dari keyakinan dan hati nurani. Inilah yang diungkapkan oleh pemikir Algeria Malik Bennabi sebagai “the inner struggle of conscience,” disusuli dengan “collective consciousness for renewal” – kesedaran bersama ke arah pembaharuan.”
Pembaharuan
Saya memilih tiga langkah diambil sebagai pembaharuan yang seäenar. Kita lihat usaha penyusunan semula sistem subsidi yang membebankan negara - ini sesuatu yang telah lama membelenggui Kerajaan terdahulu kerana bak kata orang dulu-dulu,
ditelan mati ayah, diludah mati emak.
Namun, tindakan ini amat diperlukan. Adalah diharap langkah yang diambil tidak terlalu membebankan rakyat.
Pemerkasaan Perkhidmatan Kesihatan dengan tambahan RM5 bilion dari Belanjawan sebelum ini kepada RM41.2 bilion menunjukkan betqpa pentingnya sektor perkhidmatan ini kepada rakyat.
Ini adalah satu bajet yang amat besar dan diharap kita dapat melihat usaha ke arah menggalakkan pemahaman dan penerimaan falsafah ‘prevention is better than cure’ dalam kalangan rakyat. Penambahbaikan digitalisasi perkhidmatan juga diharap dapat membawa kebaikan pada kita semua.
Akhir sekali, saya memilih Perlindungan Khazanah Alam dengan belanjawan RM200 juta satu usaha yang mulia di zaman yang penuh pancaroba menghadapi cabaran Perubahan Iklim ini.
Sektor Kreatif
Alhamdulillah kita melihat sokongan yang berterusan kepada industri kreatif. Bakat-bakat kreatif tempatan berpeluang menghasilkan lebih banyak karya seni di bawah Belanjawan kali ini. Dana Kandungan Digital diperuntukkan RM60 juta untuk mempromosi karya tempatan.
Perlu kita fikirkan apa maksud ‘kandungan berteraskan nilai kenegaraan’. Ini mestilah ‘clear and concise’ supaya kita sema menuju ke arah yang sama. Lebih penting lagi, kita patut memastikan bagaimana ini dapat menjana kegiatan ekonomi dengan pulangan berganda.
Menarik melihat RM90 juta disalurkan untuk inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa; dan RM10 juta bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative dalam menyokong anak-anak seni dalam projek kreatif.
Warisan dan Budaya
Kita juga melihat tindakan kukuh Kerajaan menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.
Antara lain, ia merangkumi:
• penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026;
• kerjasama dengan industri dalam aktiviti promosi dan penganjuran acara pelancongan dalam dan luar negara;
• bantuan kepada lebih 200 penggiat kebudayaan dalam menganjurkan aktiviti seni dan budaya;
• geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan
kemudahsampaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia; dan
• dana kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk membangunkan industri pelancongan mesra muslim di Malaysia.
Ke arah Pemuliharaan Warisan
Paling mengujakan ialah kawasan, bangunan dan tapak warisan tumpuan pelancong akan terus dipelihara bagi mengekalkan keindahan, keselamatan dan kebersihan.
• RM20 juta disediakan untuk manfaat kerajaan negeri bagi menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan seperti Tasik Timah Tasoh di Perlis, Kenong Rimba Park di Pahang, dan Pantai Teluk Kemang di Negeri Sembilan.
• RM80 juta juga disediakan bagi memelihara dan memulihara bangunan dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf oleh UNESCO antaranya di Gua Niah, Sarawak; Lembah Bujang, Kedah dan Royal Belum, Perak.
Kawasan bandar juga tidak terkecuali dari sokongan kerajaan kali ini. Sebanyak RM20 juta disediakan kepada Think City untuk mengangkat dan memulihara nilai Kuala Lumpur sebagai bandar raya kreatif dan budaya.
Budaya, Bahasa dan Kesusasteraan
Sastera dapat menghidupkan imaginasi pembaca dan semangat patriotik cintakan negara sekali gus mendidik inspirasi moral dan nilai-nilai murni dalam jiwa bangsa.
Bagi memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera Kebangsaan, Kerajaan dengan ini menyediakan RM50 juta kepada agensi yang berpotensi untuk mengetengahkan karya seni dan sastera negara, mempergiatkan persembahan teater warisan serta memupuk minat membaca karya agung dalam kalangan belia.
Kita berharap agensi terpilih dapat memperkasa kegiatan sastera negara kita. Saya melihat buat masa ini Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Kota Buku bergerak dinamik memperkasa sektor ini.
Justeru, pada keseluruhannya, belanjawan ini mencerminkan satu usaha pemula melestarikan sektor kreatif atas landasan baik seni, budaya dan kesusasteraan. Walaupun berpuas hati melihat peningkatan dalam peruntukkan sektor kreatif, sejujurnya saya menunggu saat dan ketika Belanjawan untuk Seni Kreatif, Seni dan Budaya mencecah RM1 bilion.
Yang penting dalam satu satu Belanjawan itu adalah kendalian dan pelaksanaannya di tahun hadapan. Diharap aspirasi belanjawan ini mencapai matlamatnya. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA