Bendahara Hebat Alam Melayu Nusantara: Merangkap Ikatan Daulat dalam Sistem Kerajaan Melayu
Gajah mati meninggalkan gading
Harimau mati meninggalkan belang
Manusia mati meninggalkan nama
Dalam sistem kerajaan Melayu lama, peranan Bendahara amat penting dalam mengatur kesejahteraan dan keberadaan sesebuah kerajaan berdaulat.
Bukan hanya sebagai pentadbir kerajaan, Bendahara, yang dilantik oleh Raja atau Sultan, juga bertanggungjawab menjaga keamanan negeri, menjalin hubungan luar dengan kerajaan lain, memastikan pertahanan yang mantap serta keadilan dalam kanun undang-undang.
Demang Lebar Daun, Gajah Mada, Tun Perak, Megat Terawis dan Tun Sri Lanang merupakan beberapa Bendahara atau Mangkubumi yang terpahat dalam sejarah Nusantara menunjukkan kehebatan mereka dalam mendukung tanggungjawab.
Sebagai ketua pentadbiran dalam kerajaan, Bendahara bertindak sebagai Orang Besar tertinggi dibantu Syahbandar, Laksamana dan Temenggong, bertanggungjawab dalam mengatur keamanan dengan bekerjasama dengan bantuan tentera, panglima dan hulubalang.
Bendahara mengatur strategi pertahanan dan menyusun taktik melindungi wilayah dari ancaman luar atau pemberontakan dalam negara.
Antara contoh adalah kisah Tun Perak menguburkan hasrat Siam menawan Melaka dengan tipu helah memasang obor di pokok bakau sepanjang pantai menunjukkan keluasan kawasan jajahan dan kekuatan tentera Melaka.
Sebagai wakil utama raja, Bendahara juga memainkan peranan penting dalam hal-hal perundingan dengan kerajaan luar, mengekalkan hubungan baik, serta menjalin perjanjian yang saling menguntungkan antara negara-negara.
Dalam menyelesaikan konflik serta menegakkan keadilan di dalam masyarakat Bendahara mestilah arif tentang hukum kanun dan sistem perundangan untuk memastikan ketenteraman dan keamanan di dalam masyarakat. Mereka juga berperanan sebagai penasihat utama kepada raja dalam membuat keputusan dalam segala hal.
Malah, kerajaan lama amat ‘’kosmopolitan’ kerana Melaka, Johor Riau, dan Aceh berada di laluan air tersibuk dunia, Selat Melaka. Di Melaka saja, lebih dari 80 bahasa digunakan menunjukkan berbilang kaum tinggal dan berdagang di kota pelabuhan itu. Pasti kerajaan hebat mengawal keadaan sedemikian memerlukan Bendahara yang arif dan bijaksana.
Oleh kerana bidang kuasa yang begitu besar, ramai yang sering membuat tuduhan bahawa Bendahara ingin merampas kuasa dan takhta kerajaan dari Sultan. Ini akan memporak perandakan keadaan. Ini terbukti semasa Tun Mutahir menjadi Bendahara.
Mari kita lihat beberapa contoh Bendahara tersohor yang mengangkat tugas dengan cemerlang.
DEMANG LEBAR DAUN
Di Andalas, Palembang, Demang Lebar Daun, dati keturunan Raja Mufti, mengawal negeri agar kekuatan dan pertahanan mantap sementara menunggu Raja kembali ke Srivijaya setelah sekian lamanya.
Seluruh Palembang merasa kagum dengan berita kedatangan tiga putera bernama Sang Sapurba, Sang Maniaka dan Sang Pahlawan berbusana lengkap, berdestar Diraja, dihiasi cincin dan permata kilauan, di atas gajah putih.
Demang Lebar Daun sendiri datang ke Si Guntang Mahameru untuk berikrar taat setia kepada ketiga putera. Sang Pahlawan memerintah di Minangkabau, Sang Maniaka di Tanjung Pura dan Sang Sapurba memerintah di Palembang, kota raya tertua dengan Demang Lebar Daun sebagai Mangkubumi. Palembang menjadi pusat budaya, perdagangan dan kota berkembang dan makmur, pusat Kerajaan Sriwijaya.
Demang Lebar Daun memohon Raja dan keturunan Raja tidak bertindak kejam terhadap rakyat dan rakyat akan membalas dengan sumpah taat setia kepada Raja. Sang Sapurba pula berjanji bahawa anak cucunya, keturunannya tidak akan menzalimi dan menghina rakyat jelata. Barang dilanggar, musnahlah janji.
Berdaulatlah Raja Palembang, Sang Sapurba yang gagah lagi bestari bersama Demang Lebar Daun membawa Palembang ke mercu kegemilangan.
TUN PERAK
Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang, adalah Bendahara Melaka yang paling tersohor di zaman Kesultanan Melaka pada kurun ke-15, dikenali sebagai seorang pemimpin cemerlang dan bijaksana.
Selepas ayahandanya terbunuh, Tun Perak merantau dan menjadi Penghulu Klang beberapa tahun sebelum kembali ke Melaka. Beliau membawa pengikut setia dan penduduk Klang ke Melaka untuk bermastautin di Melaka dan setia melawan tentera Siam.
Dilantik sebagai Bendahara oleh Sultan Muzaffar Shah, Tun Perak dianugerah gelaran Bendahara Paduka Raja, dan terus berkhidmat bawah Sultan Mansur Syah dan Sultan Riayat Syah.
Tun Perak meninggal dunia pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah.
Persahabatan erat dengan Laksamana Hang Tuah turut menyaksikan kegemilangan Melaka sebagai pusat dagang dan pelabuhan utama dunia.
TUN SERI LANANG
Tun Seri Lanang, Bendahara Paduka Raja Kesultanan Johor, terkenal sebagai penyunting Sejarah Melayu dan tokoh ulung Dunia Melayu.
Berkhidmat sebagai Bendahara kepada Sultan Alauddin Riayat Shah III, Sultan Johor-Riau, Kerajaan Johor Riau menerima cabaran hebat apabila peperangan dengan Aceh tercetus. Alhirnya Johor-Riau tewas di Batu Sawar, dan Sultan, adinda Sultan, Raja Abdullah, dan kerabat diraja Johor serta 23,000 rakyat Johor dibawa ke Aceh pada tahun 1613.
Di Aceh, Tun Seri Lanang terbukti seorang tokoh besar dan telah mendapat kepercayaan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Malah selepas Sultan Alauddin Riayat Shah III dibenarkan pulang ke Johor, Tun Seri Lanang dilantik sebagai Ulubalang Samalanga di Aceh dengan gelaran Orang Kaya Dato' Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.
Beliau memerintah selama 40 tahun di Samalanga yang menjadi pusat pendidikan, dengan pembangunan masjid seperti Kuta Blang dan Mesjid Matang Wakeuh serta berperanan sebagai penasihat kepada beberapa Sultan Aceh.
Inilah antara tokoh tersohor kerajaan Melayu lama yang namanya jangan dibiarkan hilang.
Kehebatan mereka dalam mengatur keamanan, diplomasi, dan keadilan telah memberi kesan yang besar dalam sejarah Melayu dan kekal zaman berzaman. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA