DRAGONLORE - Hikayat rakyat memori keberadaan tamadun lama
KEPENTINGAN pemahaman hikayat, seni dan budaya antara pelbagai bangsa berupaya menyemarak kesejahteraan sejagat. Ini adalah kerana budaya memegang kunci segala peradaban, kepakaran, ilmu, kekuatan dan jati diri sesebuah bangsa.
Dalam sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum contohnya, saling memahami budaya - membina hubungan harmoni dan saling muhibbah antara etnik yang berbeza budaya.
Apabila kita memahami asal-usul, tradisi, adat resam, dan bahasa sesama kaum, kita dapat melihat pelbagai titik persamaan yang mungkin tidak kita kenali sebelumnya. Ini boleh membantu kita menganggap satu sama lain sebagai rakan seperjuangan dalam membangunkan nusa dan bangsa.
Dari sinilah kita dapat memperkasa dan mempamerkan kekuatan dan kekayaan warisan negara yang kita cintai bersama.
Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina tahun ini, 14 penulis dari 10 negara bersatu bersama-sama berkolobrasi menghasilkan DRAGONLORE, satu antologi penerbitan Malaysia bertaraf antarabangsa.
Dua puluh empat cerita, setiap satunya unik, membawa kita ke dunia naga yang luar biasa, dan bertemu dengan wira dan srikandi berwibawa dari serata dunia, tanpa mengira dari timur atau barat.
Naga sehingga hari ini terus berada dalam korpus memori legenda dalam dunia teknologi modern hari ini. Hingga kini, naga mencerminkan hati nurani manusia; kegembiraan dan ketakutan, cinta sejati, kejayaan dan kehancuran.
Sebenarnya, seluruh dunia hari ini lebih mengenali kisah naga dari Cina, Korea atau Eropah, namun mungkin ada di kalangan kita yang lupa kita mempunyai kisah naga tersendiri, contohnya Naga Tasik Chini atau Naga Kinabalu.
Dan Naga Langkawi atau Naga dari kisah Putera Cahaya Bulan. Sudah sampai masanya kita mengenali kisah legenda kita yang penuh dengan khazanah dan warisan tersendiri.
DRAGONLORE menceritakan kisah epik Malaysia dan Asia Tenggara, legenda Inuit Palraijug dan cerita rakyat Filipina, Naga Bakunawa. Kisah Lyminster Knucker dari UK serta kisah menyayat hati pelukis naga dari Negeri Cina. Memberi sokongan padu pada Ajetis saat dia bertempur melawan kejahatan tersembunyi di Laut Bosphorus, Turkiye.
Sasterawan Negara Prof Emeritus Muhammad Hj Salleh turut menulis Kata Pengantar membuka kisah DRAGONLORE.
Dari Kepulauan Melayu hingga Timur Jauh, Lingkaran Arktik ke Australia, Eropah, dan Afrika, legenda dan cerita rakyat boleh menyatukan umat manusia. Dalam konteks dunia saat ini, yang bergelumang dengan masalah perang,kelestarian alam, kemiskinan, penindasan, masalah iklim sedunia, dan tamak haloba, kisah legenda memberikan tunjuk ajar dan teladan dari masa silam.
Sejujurnya, aktiviti budaya dan sastera memainkan peranan penting dalam mengangkat tamadun dan kesejahteraan manusia sejagat. Aktiviti-aktiviti seperti seni budaya, sastera, dan kraf mencerminkan keunikan budaya kita kepada dunia, meletakkan keberadaan alam Melayu di persada dunia bersama tamadun dunia.
Mengenali legenda dunia mencerminkan nilai-nilai, sikap, dan pengetahuan yang terkandung dalam budaya dan sastera. Hal ini memperkaya pemikiran, mencari kekuatan dan kreativiti, serta memupuk rasa cinta terhadap tradisi dan warisan kita.
Naratif-naratif ini berfungsi sebagai jambatan antara masa lalu dan masa kini, menggabungkan kearifan masa lampau dan cabaran dunia moden dalam memperkasa masyarakat, serta memastikan keberterusan dan terus hidupnya legenda-legenda seperti ini.
DRAGONLORE From East and West merupakan hasil kerjasama penulis pelbagai bangsa, dari Kanada, China, Itali, Indonesia, Jerman, Georgia, Filipina, Turki, UK dan Malaysia serta penterjemah dan pelukis yang ingin menghadiahkan sebuah antologi kisah naga sedunia.
Buku DRAGONLORE, penerbitan Hikayat Fandom, bakal diarkibkan di bulan melalui projek LUNAR CODEX pada penghujung tahun 2024 dan akan diterbitkan di Itali dan Jerman.
Buku yang mendapat galakan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia ini akan juga dipasarkan ke Australia dan China. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : ninotaziz@gmail.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA