Untung bersih Aeon melonjak 36.2% kepada RM18.8 juta pada 3QFY24 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Aeon melonjak 36.2% kepada RM18.8 juta pada 3QFY24

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Aeon Co (M) Bhd mencatat untung bersih sebanyak RM18.8 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2024, meningkat 36.2% berbanding RM13.8 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lalu.

 

Bagi tempoh berakhir 30 September 2024, untung bersih syarikat melonjak sebanyak 26.5% kepada RM104.0 juta.

 

Aeon mencatat hasil sebanyak RM822.1 juta bagi segmen perniagaan runcit mencerminkan pertumbuhan 4.1% berbanding RM789.9 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

Katanya, peningkatan ini didorong terutamanya oleh perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi, khususnya dalam kategori makanan, kerana pengguna terus memberi keutamaan kepada perbelanjaan untuk keperluan asas.

 

"Sementara itu, perkhidmatan pengurusan hartanah Aeon mencatatkan hasil sebanyak RM180.9 juta, peningkatan 9% berbanding RM166.0 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

"Prestasi ini disokong oleh kadar penghunian yang lebih tinggi, pembaharuan sewa strategik, serta pelaksanaan projek peremajaan pusat beli-belah dan peningkatan kedai yang berjaya.

 

"Secara keseluruhan, Aeon merekodkan jumlah hasil sebanyak RM3,191.3 juta untuk tempoh semasa, iaitu peningkatan 3.1% berbanding RM3,095.7 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Melangkah ke hadapan, Aeon terus memberi tumpuan kepada keutamaan strategik dalam peruncitan dan pengurusan hartanah. Usaha ini termasuk mempercepat inisiatif digital, memperluaskan penawaran jenama sendiri dan memperkukuhkan Aeon Living Zones bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.

 

Aeon
Pengarah Urusan Aeon, Naoya Okada

 

Pengarah Urusan Aeon, Naoya Okada berkata, bagi memperingati detik bermakna ini, kumpulan merangka siri acara promosi, aktiviti dan program ganjaran sepanjang tahun.

 

"Inisiatif ini direka untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah dengan menawarkan pelbagai produk, acara perayaan, dan promosi eksklusif yang memberi nilai dan kepelbagaian yang lebih besar,” katanya.- DagangNews.com