Dunia Kepahlawanan Melayu: Zaman silam yang berkilau | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 25 Dec 2023 07:00 AM

DUNIA KEPAHLAWANAN MELAYU

Zaman Silam Yang Berkilau

 

 

ZAMAN Langkasuka, Srivijaya, Kesultanan Melaka dan Kerajaan Melayu lama memastikan ketinggian ilmu dan adab serta warisan yang mementingkan masyarakat Melayu mengukuhkan ciri pemerintahan, hukum kanun, seni budaya, seni mempertahankan diri dan tentunya ilmu keagamaan. 

 

Seni mempertahankan diri atau silat terutamanya amat ditekankan dalam Dunia Melayu. Justeru, pada zaman itu wujud ramai pahlawan Melayu yang handal kerana hampir semua golongan masyarakat, dari kerabat diraja, orang kampung, wanita dan golongan anak muda, mempelajari dan menguasai ilmu persilatan satu ketika dahulu. 

 

Setiap negeri ada saja pahlawan-pahlawan Melayu yang terkenal hebat dan kisah mereka diabadikan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Tersohorlah setiap daerah yang mengutamakan ilmu persilatan di semua negeri. Malah, pahlawan lama mengenali satu sama lain dan bertindak sehati sejiwa dalam perjuangan membebaskan bangsa dari penjajah.

 

Kalau di Melaka, Sungai Duyunglah asal pendekar seperti Hang Tuah. Di Pahang, kita kenali Datuk Bahaman dan Mat Kilau dari Semantan mempertahankan tanah air daripada campur tangan penjajah British. Begitu juga dari Negeri Sembilan, Dol Said tersohor kerana berjaya mengalahkan tentera British.

 

Dari Kelantan, Tok Janggut telah bersumpah setia. Pahlawan Mat Salleh dari Sabah gagah perkasa. Datuk Maharaja Lela dari Perak menyahkan Birch.

 

Dan Rentap, pahlawan Iban dari Sarawak yang menjadi wira menentang Brooke habis-habisan dan berjanji tidak memandang seorang British selagi hayat dikandung badan.


 

rentap
          RENTAP

 


Semuanya membayangkan jati diri luar biasa. Ramai lagi pahlawan yang nama mereka masih meniti perbualan nostalgia hari ini. 

 

Bagaimana ingin menjadi pahlawan? 

Seorang pahlawan pasti akan mencari guru dan dikehendaki melalui pelbagai tahap dan ujian di dalam seni mempertahankan diri bagi membina keberanian dan ketangkasan. Ilmu keagamaan amat penting dan sikap rendah diri juga diperlukan.

 

Taraf seseorang pahlawan bergantung kepada bakti yang dicurahkan, prinsip hidup,  jati diri yang tinggi dan pengorbanan diri.

 

Adab dan etika bertarung sebati dengan jiwa pendekar. 

 

Pahlawan yang bertarung mestilah arif tentang tata-susila pertarungan sebelum dimulakan -  tempoh dan tarikh, tempat dan syarat dan sebagainya. 

 

Sesiapa yang tercedera harus diberikan rawatan, manakala yang terkorban pula dikebumikan dengan hormat. Ini dapat dilihat dari kisah pertarungan sengit Hang Tuah dan Hang Jebat. Tun Saban dan Megat Terawis.

 

Jika satu pihak berundur meninggalkan medan tempur, ini menandakan akhir pertembungan dan kemenangan mutlak jatuh pada pihak lawan. 

 

 

tunsaban

 

 

Walaupun tradisi pertarungan Melayu seperti ini mungkin sudah tiada lagi di zaman ini,  penghargaan terhadap pahlawan-pahlawan Melayu ini masih ujud dalam kesedaran masyarakat. Merekalah yang mencerminkan semangat keberanian, keadilan, dan pengorbanan dalam mempertahankan bangsa dan tanahair.

 

Banyak kisah lampau pahlawan zaman silam diabadikan dalam manuskrrip Melayu dan secara lisan oleh waris mereka. Di sini, saya ingin kongsikan sedikit kisah dari Hikayat Pahang.

 

PAHLAWAN BUKIT SEGUMPAL

Maka sekelian orang-orang besarnya pun bersiaplah dengan segeranya akan kenaikan perahu perangkatan itu dan berkerahlah segala rakyat (negeri) dan membawa hulubalang yang handal gagah lagi perkasa, dua orang yang masyhur pada ketika itu, tiadalah banding masyhur dan gagah perkasanya, namanya Datuk Parit dan Datuk Tangguk Bingkal Tembaga, dan banyaklah hulubalang yang dibawanya. Sudah lengkap sekaliannya, maka berangkatlah.

 

Hikayat Pahang

Hikayat Pahang unik dengan cara pendahuluàn katanya - kisah bermula di halaman pertama, mengisahkan bagaimana dua pahlawan abad ke-17 yang begitu tersohor berjaya menangkap lanun seramai tujuh perahu bajak laut dengan rantai besi yang telah mengikat mereka berdua.

 

Tok Parit bin Tok Kota dan Tok Tangguk Bingkai Tembaga mengalahkan la until dan membawa pulang kekayaan yang tidak terhingga kepada Bendahara Pahang, Datuk Bendahara Seri Maharaja Ali, dan isteri yang dicintai,  Che Long Lingga, putri Tok Kota Chenor dan Che Esah Khatib, kekanda Tok Parit sendiri. Bonda kepada Sultan Pahang pertama.

 

Kisah pahlawan Bukit Segumpal dan Orang Kaya Chenor sememangnya berkait rapat sejak abad ke-16 dan selamanya menempatkan nama pahlawan dalam kisah sejarah Pahang. Sungai Pahang merupakan jalan mereka ke istana kerajaan Pahang di Pekan.

 

Laut terbuka tempat bermain, menjelajah seluruh Kepulauan Melayu dan lebih jauh lagi. Gunung-ganang dan bukit bukau menjadi tempat latihan pahlawan berguru untuk menguatkan kehandalan demi mempertahankan bangsa dan negara.

 

Itu adalah era yang sangat berbeza dari hari ini. Era penaklukan dan perdagangan maritim Dunia Melayu. Iringan gamelan yang menyatukan pulau-pulau Nusantara. Dendangan tari-tarian dan bunyi-bunyian yang mempesonakan. Sastera indah melalui pantun, syair, dan hikayat. Hukum kanun di darat dan laut.

 

Che Long Lingga dan adiknya Panglima Tok Parit berasal dari Bukit Segumpal. Kehidupan yang dikenali sejak kecil di kalangan keluarga pahlawan berani dengan suara lantang, pencerita Kisah lama, dan drama politik keluarga yang beretrusan. Kebijaksanaan dan kecantikan Che Long Lingga  menarik perhatian istana Bendahara. 

 

 

iktisad

 

 

Pahlawan terkenal lain dari Bukit Segumpal adalah Dato Setia Amar Segara Tunggal bin Tok Amar Segara Tok Ghafur. Tok Tunggal menikahi Tok Chenduk, anak gadis Tok Parit dan anak saudara Che Long Lingga. Anak-anak Tok Tunggal seperti Panglima Bebas Chik, Tok Imam Perang Husin dan Tok Nit meneruskan warisan keluarga.

 

Dalam kisah pertempuran penentuan dua saudara berebut takhta, Bendaharaja Seri Wan Raja Tun Ahmad dan kakandanya Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, bangsawan dari Chenor dan Bukit Segumpal memiliki peranan masing-masing membantu membentuk sejarah Pahang.

 

Kisah bakal dikongsikan  di lain lembaran. 

 

Zalina binti Abdul Aziz bin Tok Muda Salehuddin bin Tok Awang Pekan bin Tok Nit bin Tok Tunggal bin Tok Ghafur bin Tok Ari bin Tok Sabur. - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb