Festival Muzik Hutan Hujan Dunia: Pendekatan kelestarian alam, budaya dan warisan
RWMF tampil semula setelah tiga tahun sejak pandemik – membuka pintu gerbang Kampung Budaya Sarawak di Santubong seluas-luasnya kepada ribuan pengunjung.
Festival kali ini amat menakjubkan dengan penampilan 199 artis dan pemuzik tempatan dan antarabangsa, dan berakhir dengan artis antarabangsa mendendangkan lagu terakhir 'Big Mountain – Baby, I Love Your Way', menutup festival pada 25 Jun 2023.
RWMF tahun ini juga mencipta rekod baharu untuk Malaysia Book of Records bagi "Pemain Percussionist Teramai dalam Festival Muzik".
Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) telah mencipta rekod dengan 2,763 orang pemuzik dan peserta sepanjang sambutan RWMF selama 3 hari. Perhimpunan unik pemain muzik bergendang bersama tiga hari berturut-turut, mencerminkan mesej perpaduan, kebersamaan dan cintakan budaya, pada masa yang sama meningkatkan pengiktirafan terhadap RWMF yang ikonik di Malaysia.
Memang terbaik barisan artis dan pemuzik dari seluruh dunia termasuk pemenang Anugerah Grammy Gipsy Kings menampilkan Tonino Baliardo, yang terkenal dengan lagu hit 'Bamboleo'.
Kegemaran saya? Persembahan malam pembukaan RWM 2023 menyaksikan persembahan asli oleh Rastak dari Iran, At Adau dari Malaysia dan artis antarabangsa Zee Avi yang merupakan anak jati Sarawak.
Persembahan At Adau mengilhamkan saya untuk menulis sajak ini:
Edang Bolan
jauh di hujan hujan khatulistiwa, sape menyanyikan lagu cintakan alam. lagu penuh syahdu dan harapan. di bawah rembulan
menari di sebalik awan
di langit begitu bersih dan suci
tatkala bintang bertaburan
jauh di hujan khatulistiwa, at adau mengingatkan kita betapa bertuah. anak bangsa di sini. sehati sejiwa dalam mengejar mimpi bersama
deep in the rainforest, the sape sings a song of planetary love. of new hopes and a world, saved by reflections of the moon,
hiding behind clouds
of a smogless sky
as stars come out to play
deep in the rainforest, at adau croons of the best of times, of humility and a people, saved through a common cause
rain at bay, cooling
hot headed minds away
from corporate suites
deep in the rainforest, as the orang utan dances in the wild renewed vigour, numbers saved by pandemic lull
the gentle breeze
welcomes the princess
of the land…
#rwmf2023
Kampung Budaya Sarawak, rumah RWMF, menempatkan persembahan di ‘Pentas Rimba’ dan ‘Pentas Pokok’ serta persembahan tambahan turut menghidupkan suasana di seluruh kawasan pesta berlangsung.
Sambutan pada RWMF 2023 telah melebihi jangkaan dan membuktikan daya tarikan festival ini bukan sekadar muzik – budaya, sajian lazat dari Sarawak dan kemesraan yang terjalin dalam kalangan penghibur dan pelawat tempatan dan antarabangsa menjadi kenangan manis sepanjang festival.
Bagi saya, pengalaman di Sarawak RWMF begitu bermakna kerana dapat memperlihatkan kepelbagaian budaya dari semua segi - baik keramahan orang Sarawak, dari segi makanan, pakaian dan tarian, serta bengkel budaya di Rumah Bidayuh, Iban, Cina dan Melayu. Struktur Rumah Warisan Melanau tersergam tinggi. Rumah Melayu indah menawan.
Tidak lupa, senja yang begitu mengasyikkan bagai lakaran di langit. Dan juga fajar yang menyingsing setiap hari menjanjikan pemandangan sungguh istimewa di perkarangan Damai Beach Resort dan Damai Lagoon, tempat saya tinggal sepanjang festival ini.
Paling mengagumkan sebenarnya adalah naratif Pelancongan Bertanggungjawab mewujudkan kesedaran budaya yang mementingkan kelestarian, yang telah menyemarakkan lagi pergerakan kelestarian di kalangan pengunjung RWMF.
Berdasarkan komitmennya terhadap Pelancongan Bertanggungjawab, RWMF secara konsisten membawa mesej kelestarian alam, budaya dan warisan.
Tahun ini, penganjur festival iaitu Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mengambil langkah selanjutnya untuk mengurangkan kesan ekologi. Salah satu inisiatif ialah pengenalan kertas benih (seed paper) untuk tag festival, bahan terbiodegradasi yang mengandungi benih yang boleh bercambah apabila terbuang di tanah, mengukuhkan kelestarian alam semula jadi.
RWMF turut melarang penggunaan plastik sekali pakai, dan menggalakkan peserta menggunakan botol air yang boleh diisi semula dengan percuma di tapak festival. Selain itu, untuk mengurangkan pelepasan CO2, festival menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma dari dan ke festival.
Hasilnya? Setiap malam festival berakhir, keadaan arena perkarangan festival begitu bersih. Tidak perlu tukang sapu dan pengutip sampah. Ini adalah kerana setiap pengunjung sedar dan memastikan mereka tidak menunggalkan sampah merata-rata!
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi festival yang lebih luas untuk menggalakkan kemampanan, menunjukkan bahawa komitmen festival terhadap alam sekitar menjangkau segala peringkat.
Melalui inisiatif ini, RWMF terus mengharmonikan perayaan muzik dan budaya dunia dengan perlindungan keseluruhan dan kemampanan kesihatan planet.
Tahniah Sarawak dan kesemua pihak penganjur festival ikonik dunia ini.
RWMF 2023 disokong oleh barisan penaja iaitu Malaysia Airlines, Air Asia Ride, TV Sarawak, Carlsberg, PEPSI, Plaza Merdeka & Waterfront Hotel , Spin Sportwear, Petroleum Sarawak Berhad, SACOFA, Midvalley Megamall Kuala Lumpur, Hornbill Skyways, Sarawak Timber Associations dan ATS Global Travel & Chapter Sdn Bhd. – DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : ninotaziz@gmail.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA