KUALA LUMPUR 9 Jan - Sektor perbankan Malaysia dianggarkan mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak 5% pada FY25 disokong keadaan ekonomi domestik yang stabil, kata RHB Investment.
Katanya, perkembangan itu akan dibantu andaian peningkatan pinjaman yang stabil manakala pertumbuhan pendapatan bukan faedah menyederhana kepada kira-kira 6% setahun.
Katanya, bank tempatan akan terus menawarkan pelabur pilihan terbaik bagi mengatasi ketidaktentuan luaran.
“Kami menjangkakan prestasi yang baik pada suku pertama selain jangkaan pelancaran pelan jangka pertengahan seterusnya oleh beberapa bank yang boleh diterima secara positif seperti sasaran pulangan atas ekuiti (ROE) yang lebih tinggi serta kejelasan mengenai rancangan pengurusan modal yang lebih baik," katanya dalam satu nota kajian.
AMMB Holdings Bhd dan Alliance Bank Malaysia Bhd merupakan pilihan utama firma penyelidikan itu berdasarkan kepada penialaian semasa.
Sementara itu, CIMB Group Holdings Bhd merupakan pilihan utamanya dalam kalangan bank besar bagi pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh selain turut menyukai Hong Leong Bank Bhd kerana daya tahannya.
RHB Investment berkata, sektor perbankan menawarkan hasil dividen melebihi 5% pada tahun kewangan 2025 (FY25).
"Ia merupakan tawaran menarik dan kemungkinan terdapat ruang untuk menjana pulangan lebih baik," katanya.
Katanya, sektor perbankan juga menawarkan kelebihan kepada pelabur memandangkan aliran masuk pelabur institusi asing di bank-bank Malaysia.
“Selain itu, beberapa kumpulan perbankan bersedia untuk mendedahkan pelan strategik jangka pertengahan seterusnya tahun ini.
"Pelabur akan memerhatikan sasaran ROE baharu dengan sasaran yang boleh dipercayai membantu dalam penarafan semula penilaian," katanya. - DagangNews.com